Lanjut PKP: Tiada kesan besar kepada bursa - Utusan Malaysia

Lanjut PKP: Tiada kesan besar kepada bursa

PRESTASI pasaran saham berasaskan keyakinan dan sentimen pelabur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penganalisis berpendapat lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 18 Februari ini tidak memberi impak negatif kepada Bursa Malaysia.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd., Adam Mohamed Rahim berkata, Bursa Malaysia semalam juga ditutup lebih tinggi kerana lanjutan PKP telah dijangkakan oleh pelabur.

“Ramai pelabur telah menjangkakan bahawa lanjutan PKP akan dilakukan berikutan kes harian Covid-19 yang kekal tinggi sejak kebelakangan ini.

“Selain daripada itu, saham-saham seperti Top Glove mengalami kenaikan sebanyak 4.5 peratus akibat asakan belian daripada para pelabur runcit yang berpunca daripada gerakan membeli saham pengeluar sarung tangan dalam usaha meningkatkan semula harga dan menangani jualan singkat yang cenderung meningkatkan harga,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Bursa Malaysia ditutup pada 1,580.49 mata semalam, meningkat sebanyak 14.09 mata berbanding ketika ditutup pada sesi dagangan Jumaat lalu.

Peningkatan itu tetap berlaku walaupun kira-kira sejam sebelum ditutup, kerajaan memutuskan untuk melanjutkan lagi PKP di seluruh negara selama dua minggu sehingga 18 Februari ini.

Sebanyak 6.63 bilion saham telah didagangkan bernilai RM5.12 bilion dengan 501 kaunter mencatatkan keuntungan berbanding 671 rugi manakala 435 kaunter tidak berubah.

Perkara itu diumumkan Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang berkata, permohonan untuk merentas negeri dan penganjuran aktiviti sosial termasuk sukan tidak dibenarkan dalam tempoh itu bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Mengulas lanjut, Adam menjangkakan Bursa Malaysia akan berlegar dalam julat 1,570 ke 1,590 mata minggu ini.

Kata beliau, selain PKP, pergerakan bursa akan dipengaruhi status pengedaran vaksin dan trend kes harian Covid-19 sama ada ia menurun atau menaik.

“Memandangkan terdapat berita baik mengenai pakej rangsangan di Amerika Syarikat (AS), kami berpendapat bahawa para pelabur akan mempunyai toleransi risiko yang lebih tinggi pada minggu ini kerana pakej rangsangan bukan sahaja dapat membantu memacu ekonomi AS, malah ekonomi dunia.

“Faktor yang mungkin menyebabkan penurunan adalah ketidakpastian tempoh masa vaksin Covid-19 untuk diedarkan di negara-negara seluruh dunia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya