Keuntungan Kumpulan Public Bank susut 11.6 peratus - Utusan Malaysia

Keuntungan Kumpulan Public Bank susut 11.6 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kumpulan Public Bank mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM4.87 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020, turun 11.6 peratus daripada RM5.51 bilion tahun sebelumnya.

Bagi tahun kewangan dilaporkan, Kumpulan mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM6.29 bilion, susut 11.9 peratus daripada 2019.

Pengasas dan Pengerusi Emeritus Kumpulan Public Bank, Tan Sri Dr. Teh Hong Piow berkata, keuntungan lebih rendah pada tahun lalu terutama disebabkan oleh pemampatan margin faedah bersih berikutan pengurangan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 125 mata asas.

Ia turut disumbang oleh kerugian pengubahan bersih satu sekali sebanyak RM498 juta yang dialami berikutan langkah-langkah bantuan Covid-19 yang ditawarkan kepada individu dan perniagaan.

Beliau yang juga Pengarah dan Penasihat Public Bank berkata, 2020 merupakan tahun penuh cabaran yang tidak berlaku susulan pandemik Covid-19 menyebabkan gangguan dan ketidaktentuan ekonomi yang ketara, ditambah dengan pengurangan beberapaka kali OPR meberi tekanan ke atas sektor perbankan.

“Walaupun begitu, Kumpulan Public Bank masih berupaya menunjukkan prestasi yang cemerlang dan mengekalkan keuntungannya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, keuntungan operasi sebelum peruntukan kerugian pinjaman mencatatkan pertumbuhan sebanyak RM1.6 peratus kepada RM7.40 bilion, berbanding RM7.28 bilion tahun sebelumnya.

Katanya, pada tahun lalu, Kumpulan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 4.6 peratus dalam jumlah pinjaman yang diperkukuh oleh pembiayaan hartanah kediaman, kenderaan penumpang dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Tambah Hong Piow, pendapatan bukan faedah mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan dengan peningkatan sebanyak 17.5 peratus daripada 2019, terutama disebabkan pertumbuhan kukuh dalam perniagaan unit amanah, pendapatan pelaburan serta pembrokeran saham Kumpulan.

“Perniagaan unit amanah Kumpulan Public Banmk yang dijalankan subsidiari milik penuhnya, Public Mutual terus menjadi penyumbang utama.

“Pada tahun lalu, Public Mutual mencatatkan peningkatan sebanyak 10.5 peratus dalam keuntungan sebelum cukai kepada RM714.8 juta. Jumlah nilai aset bersih dana-dana di bawah pengurusannya meningkat sebanyak 15.8 peratus melepasi RM100 bilion untuk pertama kali kepada RM100.3 bilion,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya