Keprihatinan TNB ringankan impak Covid-19 - Utusan Malaysia

Keprihatinan TNB ringankan impak Covid-19

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerahkan sijil tawaran biasiswa tajaan Yayasan Tenaga Nasional kepada seorang penuntut dari Sabah, September lalu. Turut hadir, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Noraini Ahmad dan Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid (kanan).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sudah setahun berlalu, seluruh dunia berdepan dengan penularan Covid-19 dan sejak itu, pelbagai pihak seperti kerajaan, korporat, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu tampil memberi bantuan bagi menangani pandemik itu.

Antara syarikat terawal memberikan bantuan adalah syarikat utiliti negara, Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Usaha TNB ini disokong oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KETSA) bagi membantu mengekang impak Covid-19 bermula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), 18 Mac 2020.

Ia merangkumi pelbagai bantuan dan sokongan termasuk kewangan, peralatan, kemudahan, diskaun, rebat serta bekalan tenaga.

Sepanjang itu juga, warga kerja TNB berterusan memberi perkhidmatan bagi memastikan bekalan elektrik ke segenap pelosok Semenanjung Malaysia kekal stabil.

Malah, penglibatan kakitangan TNB dalam menyalurkan bantuan kepada mereka yang terjejas dengan wabak itu turut mencerminkan tanda kesyukuran dan keprihatinan.

Daripada sebesar-besar peruntukan kewangan sehinggalah sekecil-kecil sumbangan dihulurkan warga kerja TNB di setiap negeri dan stesen termasuk melalui persatuan, kumpulan mahu pun inisiatif individu.

Selain itu, program-program bantuan lain seperti biasiswa, dermasiswa, pembinaan rumah dan sebagainya, tetap diteruskan oleh TNB ketika semua sektor ekonomi terjejas, sekali gus meringankan beban rakyat.

 

PASUKAN teknikal TNB membuat penyambungan bekalan elektrik ke pos kawalan sementara kemudahan anggota polis dan tentera di Jalan Padang Keladi Ayer Keroh, Melaka sepanjang operasi Perintah Kawalan Pergerakan.

Bantuan dan inisiatif disalurkan meliputi:

1 Sumbangan menyeluruh ke setiap negeri
 TNB menjadi antara syarikat milik kerajaan (GLC) pertama memberi sumbangan RM10 juta kepada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi pembelian keperluan termasuk apron, penutup kepala dan pelitup muka dari China sebagai menyahut inisiatif ‘Gabungan Bertindak Korporat Malaysia Menentang Covid-19’.

 Sebanyak RM17.5 juta disumbangkan kepada kerajaan-kerajaan negeri di Semenanjung Malaysia untuk mengekang penularan Covid-19, termasuk menyampaikan bantuan 10 unit mesin ventilator (alat bantuan pernafasan) kepada hospital di Melaka, Perak, Johor, Pahang dan Negeri Sembilan bagi merawat pesakit Covid-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Kakitangan TNB di 13 negeri termasuk 15 stesen mengagihkan sejumlah RM4.325 wang wakalah zakat dalam bentuk makanan keperluan dan wang saku kepada lebih 21,000 fakir miskin, warga emas, orang kurang upaya (OKU), anak yatim serta golongan B40 yang hilang punca pendapatan sepanjang bulan Ramadan.

 Meneruskan bantuan perumahan golongan B40 dan asnaf melalui Projek Baiti Jannati (PBJ) dan Projek Mesra Rakyat (PMR) dengan nilai sumbangan RM50,000 setiap penerima.

Pemberian biasiswa kepada 120 pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi.

Dermasiswa MyBrighter Future (MyBF) kepada 2,500 pelajar daripada golongan berpendapatan terendah (B40) yang mengikuti pengajian ijazah pertama, diploma dan sijil.

 

Yang Dipertua Pelitawanis TNB Kebangsaan, Datin Seri Aidah Abu menyampaikan sumbangan kelengkapan sekolah kepada seorang murid di Pahang. Turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah (dua, kanan).

2 Memanfaatkan pelbagai kemudahan
 Pembekalan elektrik dan lampu di lebih 120 lokasi pos kawalan sementara di Semenanjung Malaysia bagi keselesaan barisan keselamatan menguatkuasakan pematuhan PKP.

 Memastikan bekalan elektrik ke hospital-hospital dan klinik kesihatan luar bandar terjamin dengan menempatkan 79 set janakuasa bergerak dengan pelbagai kapasiti.

 Sejumlah 425 set lagi disediakan sekiranya berlaku permintaan bekalan sokongan yang mendesak.

 

Ketua Pegawai Kawal Selia dan Pengurusan Stakeholder TNB, Datuk Wira Roslan Ab. Rahman menyampaikan bantuan wakalah zakat TNB di Lembah Pantai, Kuala Lumpur, Mei lalu.

3Kurangkan bebanan rakyat
 Melaksanakan pemberian diskaun elektrik antara 15 hingga 50 peratus selama enam bulan bermula 1 April hingga 30 September 2020 kepada pengguna domestik di Semenanjung Malaysia, di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang diumumkan Kerajaan.

 Membiaya secara bersama Bantuan Prihatin Elektrik (BPE) iaitu penggunaan elektrik percuma sehingga RM77 sebulan.

 Penangguhan surcaj lewat bayar dan penangguhan pemotongan bekalan kepada 7.5 juta pelanggan domestik sepanjang Mac-Disember 2020.

 Kemudahan pembayaran bil secara ansuran sehingga Disember 2020.

 Lanjutan tiada pemotongan bekalan kepada pengguna domestik dengan tunggakan kurang daripada enam bulan sepanjang Januari-Mac 2021. Mereka diberi kemudahan pembayaran secara ansuran sehingga 30 Jun 2021.

 

Rejimen Pakar Janaelektrik (70 RAJD) turut membantu dalam projek amal Pelitawanis TNB dengan melakukan kerja-kerja penghantaran 30 gulung plastik yang beratnya mencecah 30kg setiap satu, bagi penyediaan apron PPE.

4 Gabung tenaga beri bantuan
 Pelitawanis TNB mengumpulkan lebih RM1 juta sumbangan untuk diagihkan kepada golongan B40, rumah-rumah anak yatim, pusat penjagaan warga emas dan pelajar-pelajar yang terkandas di pusat pengajian tinggi.

 Sediakan kira-kira 20,400 helai apron kalis cecair sebagai peralatan perlindungan diri (PPE) untuk petugas barisan hadapan.

 TNB Research Sdn. Bhd. (TNBR) meng­hasilkan kotak aerosol mesra peng­guna yang mampu mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 ketika proses intubasi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya