PETALING JAYA: Benua Asia dijangka dihuni 955 juta warga tua berusia lebih 65 tahun menjelang 2050 berbanding hanya kira-kira 412 juta hari ini.
Menurut Laporan Pencen Serantau Allianz, jumlah tersebut adalah kira-kira 18 peratus daripada keseluruhan populasi Asia sewaktu itu.
Sehubungan itu, laporan tersebut menegaskan, jangkaan populasi tua pada masa hadapan perlu diberi perhatian, khususnya dalam soal reformasi pencen yang masih belum digerakkan di beberapa negara Asia..
Menurut ahli ekonomi kanan Allianz yang juga penulis untuk laporan tersebut, Michaela Grimm, walaupun tidak memberi kesan berpanjangan kepada penuaan, pandemik Covid-19 telah memburukkan lagi ketidaksaksamaan yang sedia ada berlaku dalam dunia, termasuk dalam isu kemiskinan hari tua.
“Parutnya bukan hanya pada kemelesetan yang mendalam, peningkatan pengangguran dan gangguan pendidikan tetapi turut melibatkan langkah-langkah bertujuan murni seperti pengurangan sementara atau penggantungan sumbangan pencen; juga termasuk keizinan pengeluaran sementara simpanan pencen.
“Langkah jangka pendek sebegini berkemungkinan meningkatkan kemiskinan hari tua pada tahun-tahun akan datang. Apa pun yang terjadi, Covid-19 telah menjadikan reformasi pencen semakin diperlukan,” katanya dalam kenyataan.
Menurut laporan yang melibatkan 15 negara Asia itu, kebimbangan utama berkenaan sistem pencen di kebanyakan pasaran terlibat ialah umur persaraan yang tidak menggambarkan peningkatan jangka hayat sepanjang beberapa dekad lalu.
Katanya, walaupun beberapa pasaran membincangkan peningkatan umur persaraan, perubahan yang dirancang mungkin tidak mencukupi untuk mengatasi peningkatan yang lebih lanjut dalam jangka hayat warga di negara tersebut.
“Ini turut melibatkan Malaysia. Kebimbangan utama adalah kemampanan jangka panjang sistem pencen Malaysia memandangkan umur persaraan yang secara relatif rendah, iaitu 60 tahun untuk kedua-dua lelaki dan wanita tidak mencerminkan perkembangan jangka hayat.
“Satu lagi cabaran ialah nisbah perlindungan yang secara relatif rendah – kurang daripada separuh populasi bekerja secara berkesan berada dalam sistem pencen awam,” katanya. – UTUSAN