Kadar pengangguran dijangka turun ke 3.8 peratus - Utusan Malaysia

Kadar pengangguran dijangka turun ke 3.8 peratus

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kadar pengangguran dijangka turun ke 3.8 peratus tahun ini hasil dorongan pelbagai inisiatif kerajaan dan pemulihan pasaran buruh menjelang separuh kedua 2021.

Walau bagaimanapun, menurut MIDF Research, pemulihan tersebut mungkin sedikit terganggu akibat peningkatan semula kes jangkitan Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara kecuali Sarawak.

“Dengan kebanyakan perniagaan dibenarkan beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP), kami menjangkakan peningkatan permintaan buruh akan berterusan dan keadaan permintaan yang lemah akan beransur-ansur meningkat apabila permulaan program vaksinasi akan membantu menambah baik sentimen serta sekatan dalam PKP semasa dilonggarkan.

“Pada 2021, kami menjangkakan pemulihan pasaran buruh akan terus mendapat manfaat daripada inisiatif kerajaan untuk menyokong pertumbuhan pekerjaan, seperti Program Pekerjaan Jangka Pendek (Mystep) dan pelanjutan Program Subsidi Upah (PSU) serta secara umumnya daripada pemulihan pertumbuhan ekonomi yang dijangkakan,” katanya dalam nota kajian.

Kadar pengangguran pada 2020 berada pada paras 4.5 peratus, lebih tinggi berbanding 3.3 peratus pada 2019.

Menurut MIDF, tenaga pekerja meningkat dalam kadar yang lebih perlahan pada 1.2 peratus tahun lalu, berbanding dua peratus pada 2019 sementara guna tenaga secara keseluruhannya hampir tidak berubah dengan pertumbuhan guna tenaga menguncup 0.1 peratus, berbanding perkembangan dua peratus pada 2019.

Kadar pengangguran pada Disember 2020 pula sama seperti pada November, iaitu 4.8 peratus selepas PKP Bersyarat (PKPB) ditamatkan di beberapa kawasan tetapi diteruskan di Selangor, Sabah dan Kuala Lumpur.

“Kadar guna tenaga merekodkan penurunan yang lebih perlahan pada -0.5 peratus tahun ke tahun sementara pengangguran menyaksikan peningkatan pantas kepada 49.5 peratus tahun ke tahun.

“Kadar orang di luar tenaga buruh meningkat dengan lebih [ada 3.4 peratus tahun ke tahun, menunjukkan kemungkinan bahawa lebih ramai orang tidak mahu mencari pekerjaan pada bulan tersebut.

“Secara bulanan, pengangguran dan tenaga kerja masing-masing meningkat 1.1 peratus bulan ke bulan dan 0.1 peratus bulan ke bulan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya