PETALING JAYA: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memberi peringatan kepada semua pemilik harta di kawasan pentadbirannya yang masih belum menjelaskan cukai taksiran supaya berbuat demikian pada atau sebelum hujung bulan ini bagi mengelak dikenakan denda.
Menurut MBPJ, pihaknya akan membuka kaunter bayaran cukai pada 27 dan 28 Februari ini bermula pukul 9 pagi hingga 1 petang.
“Seperti semua sedia maklum, tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih dilaksanakan di Selangor. Sehubungan itu, para pelanggan yang hadir adalah dinasihatkan untuk mematuhi syarat prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara.
“Orang awam juga digalakkan membuat bayaran cukai melalui aplikasi ecukai@mbpj. Aplikasi ini memberikan perkhidmatan semakan bil cukai taksiran, pembayaran dan pertukaran alamat surat-menyurat. Pengguna juga boleh memuat turun aplikasi ecukai@mbpj melalui Google Play Store dan Apple Store,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai juga boleh menghubungi Jabatan Perbendaharaan MBPJ di talian 03-7956 3544 sambungan 102/103/108/109.
Mereka juga boleh mendapatkan maklumat terkini berkaitan perkhidmatan dan program MBPJ dengan melayari laman sesawang www.mbpj.gov.my atau laman sosial Facebook: @petalingjayacitycouncil, Twitter dan Instagram: @pjcitycouncil. – UTUSAN