IPP 2020 susut 4.2 peratus - Utusan Malaysia

IPP 2020 susut 4.2 peratus

MOHD. UZIR MAHIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) negara bagi keseluruhan tahun 2020 merekodkan penyusutan sebanyak 4.2 peratus berbanding tahun sebelumnya, kadar terendah pertama kali sejak 2009.

Penguncupan itu dipengaruhi oleh semua indeks iaitu indeks perlombongan yang susut 9.7 peratus, indeks elektrik menurun 3.7 peratus dan indeks pembuatan berkurang 2.7 peratus.

Walau bagaimanapun, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, IPP negara berkembang 1.7 peratus pada Disember 2020 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Beliau berkata, pertumbuhan IPP itu dipacu indeks pembuatan yang meningkat 4.1 peratus manakala indeks perlombongan dan elektrik masing-masing jatuh 5.4 dan 0.2 peratus.

Katanya, output sektor pembuatan berdasarkan perbandingan tahun ke tahun pula menokok 4.1 peratus pada Disember 2020 selepas mencatatkan pertumbuhan 2.0 peratus, November 2020.

“Subsektor utama yang menyumbang kepada kenaikan sektor pembuatan pada Disember 2020 adalah kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain yang berkembang 8.4 peratus; produk petroleum, kimia, getah dan plastik (7.7 peratus) dan produk peralatan elektrik & elektronik (7.6 peratus).

“Output sektor perlombongan pula menguncup 5.4 peratus pada Disember 2020 berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

“Kemerosotan tersebut disebabkan oleh penurunan dalam indeks minyak mentah dan kondensat sebanyak sembilan peratus serta indeks gas asli yang menguncup 2.5 peratus,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Mohd. Uzir berkata, output sektor elektrik pula menurun sedikit 0.2 peratus pada Disember lalu berbanding bulan sama 2019.

Menurut Mohd. Uzir, IPP bagi suku tahun keempat 2020 jatuh 0.3 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

“Penurunan ini terutamanya disebabkan penguncupan dalam perlombongan sebanyak 10.5 peratus dan elektrik yang turun 0.6 peratus manakala sektor pembuatan pula merekodkan peningkatan 2.8 peratus,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya