PETALING JAYA: Bagi memastikan industri vape dapat berkembang dan menyumbang kepada ekonomi negara, pemain industri menyatakan kesediaan mereka untuk dikawal selia oleh pihak kerajaan.
Menurut veteran industri vape yang juga bekas presiden sebuah persatuan vape di Malaysia, Rizani Zakaria, saiz industri vape telah berkembang dengan pesat selaras dengan peningkatan penggunaannya di dalam negara sehingga melahirkan satu industri besar yang diusahakan usahawan tempatan.
Beliau berkata, ramai pemain industri sangat mengharapkan kerajaan memperkenalkan peraturan untuk mengawal selia industri.
“Dengan pengenalan cukai eksais untuk produk vape melalui Belanjawan 2021 yang diumumkan tahun lalu, peraturan produk vape tidak boleh dilengahkan lagi dan perlu diperkenalkan dengan segera,” katanya dalam satu kenyataan.
Razani yang berkecimpung lebih 10 tahun dalam industri berkenaan berkata, peraturan untuk mengawal selia industri vape akan memberi banyak faedah kepada semua pihak.
Ini kerana katanya, peraturan akan memastikan produk yang terjual di pasaran memenuhi standard produk telah ditetapkan.
Bagi pemain industri, kata beliau, peraturan akan memberikan kepastian serta hala tuju yang jelas dan membolehkan mereka membuat dan menjual produk yang mengikut peraturan dan standard produk yang ditetapkan.
“Dari segi Kerajaan, peraturan bukan sahaja akan dapat melindungi pengguna dan mengawal industri, malah ia akan menyumbang kepada ekonomi negara dengan memberikan peluang kepada lebih ramai usahawan tempatan untuk menceburi industri ini.
“Selain itu, ia mampu menarik pelabur asing untuk melabur dalam industri vape tempatan sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam jangka masa yang panjang. Ini satu impak yang baik dalam membantu menjana ekonomi negara,” katanya.
Rizani berpendapat, sekiranya peraturan tidak diperkenalkan dan cukai tidak diperluaskan untuk merangkumi cecair vape yang mengandungi nikotin, kerajaan tidak akan dapat mengutip cukai secara efisien sekali gus mengakibatkan ketirisan dan membantutkan usaha untuk mengembangkan industri berkenaan.
Berdasarkan pengumuman kerajaan pada Belanjawan 2021 yang mahu memperkenalkan cukai eksais untuk produk vape, pelaksanaan percukaian eksais adalah terhad kepada peranti vape dan cecair yang tidak mengandungi nikotin sahaja.
Bagaimanapun kata Rizani, dengan saiz industri sebesar RM2 bilion dan dijangka terus berkembang, maka sudah tiba masanya untuk kerajaan melihat industri vape sebagai satu industri yang mampu menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Beliau berkata, Malaysia merupakan antara pengeluar e-cecair terbesar di dunia dan mempunyai permintaan yang tinggi dari negara-negara seperti Kuwait, United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS) Indonesia, Filipina dan Cambodia, didorong oleh tahap kualiti produk yang tinggi selain menepati garis panduan dan standard dikeluarkan negara-negara berkenaan.
Sementara itu, pemain industri vape, Adrian Lo berkata, masalah utama yang dihadapi oleh pemain industri ialah undang-undang yang tidak jelas dari pihak kerajaan dalam mengawal selia industri.
“Sebagai pengusaha vape tempatan dan perusahaan kecil dan sederhana yang menyumbang kepada ekonomi di Malaysia, kami berharap Kerajaan membuat peraturan dengan secepat mungkin untuk industri vape,” katanya yang memiliki beberapa kedai dan bergiat aktif dalam industri berkenaan lebih separuh dekad lalu.
Tambah Adrian, meskipun belum ada undang-undang khusus, namun pemain industri sebagai pihak yang bertanggungjawab, telah mengambil langkah awal dengan memastikan produk vape tidak sampai ke tangan remaja di bawah umur 18 tahun, yang menjadi kebimbangan pelbagai pihak.
Menurut Adrian, secara amnya, setiap pekerja industri dibayar kira-kira RM1,200 hingga RM1,800 sebulan termasuk diberikan komisyen untuk jualan.
“Dari kaca mata sorang pengusaha vape, saya sangat-sangat mengalukan kawal sedia dari pihak kerajaan. Malah, kami juga berharap kerajaan mengenakan cukai ke atas produk vape yang mengandungi nikotin dan memperkenalkan peraturan serta standard untuk menjamin kualiti dan keselamatan produk vape yang dihasilkan,” katanya. – UTUSAN