Indeks nilai eksport, import meningkat - Utusan Malaysia

Indeks nilai eksport, import meningkat

MALAYSIA terus merekodkan jumlah dagangan yang positif di sebalik penularan pandemik Covid-19. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Indeks nilai seunit eksport dan import masing-masing tumbuh sebanyak satu peratus dan 0.4 peratus pada bulan Disember 2020 berbanding bulan sebelumnya.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan positif indeks nilai seunit eksport sebanyak satu peratus disumbangkan oleh kenaikan indeks minyak, lemak binatang dan sayur-sayuran berjumlah 7.7 peratus; minyak galian (lima peratus) dan barang-barang keluaran kilang (0.6 peratus).

Beliau berkata, indeks volum eksport turut tumbuh 11.9 peratus berbanding bulan sebelumnya yang disumbangkan prestasi lebih baik bagi indeks minyak, lemak binatang dan sayur-sayuran yang naik 49 peratus; minyak galian (16.6 peratus) dan alat jentera & kelengkapan pengangkutan (8.7 peratus).

Mohd. Uzir memberitahu, indeks volum eksport pelarasan bermusim mencatatkan pengembangan 12.2 peratus daripada 139.9 mata kepada 157 mata.

“Berbanding tahun sebelumnya, indeks nilai seunit eksport jatuh tiga peratus manakala indeks volum eksport naik 14.2 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Uzir berkata, indeks nilai seunit import turut berkembang 0.4 peratus pada Disember 2020 berbanding bulan sebelumnya.

Katanya, pengembangan itu disumbangkan oleh kenaikan indeks minyak, lemak binatang dan sayur-sayuran yang naik 7.7 peratus, minyak galian (6.5 peratus) dan barang-barang keluaran kilang (0.5 peratus).

“Indeks volum import turut tumbuh 10.5 peratus disumbangkan oleh prestasi lebih baik bagi indeks bahan kimia berkembang 14.3 peratus, barang-barang keluaran kilang naik 11.1 peratus dan alat jentera & kelengkapan pengangkutan (10.3 peratus).

“Indeks volum import pelarasan bermusim pada Disember 2020 naik 12.4 peratus daripada 131.8 mata kepada 148.1 mata. Berbanding tahun sebelumnya, indeks nilai seunit import menyusut 4.2 peratus manakala indeks volum import meningkat enam peratus,” jelas beliau.

Jabatan Perangkaan turut melaporkan terma perdagangan Malaysia mencatatkan pertumbuhan 0.6 peratus bulan ke bulan daripada 99.6 mata kepada 100.2 mata pada Disember 2020.

Berasaskan tahun ke tahun, terma perdagangan Malaysia turut menunjukkan trend yang sama pada 1.3 peratus daripada 99 mata kepada 100.2 mata dalam Disember 2020. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya