PETALING JAYA: Indeks Harga Pengeluar (IHPR) pengeluaran tempatan pada Januari lalu bertambah baik dengan pertumbuhan negatif 0.1 peratus berbanding negatif 2.1 peratus Disember 2020.
Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, indeks pertanian, perhutanan & perikanan terus meningkat pada kadar yang perlahan 22.6 peratus disebabkan penurunan harga bagi komoditi utama.
Sementara itu, indeks sektor pembuatan mencatatkan kenaikan 1.1 peratus, lebih tinggi daripada Disember 0.2 peratus.
Selain itu katanya, indeks bekalan air meningkat 0.5 peratus manakala sektor perlombongan bertambah baik dengan pertumbuhan negatif 28.3 peratus berbanding Disember -40.0 peratus), disumbangkan oleh kenaikan harga komoditi minyak dan gas. Walau bagaimanapun, indeks Bekalan elektrik & gas turun 1.9 peratus.
“Bagi perbandingan bulanan, IHPR pengeluaran tempatan meningkat 2.0 peratus pada Januari 2021. Peningkatan ini disebabkan oleh indeks perlombongan yang mencatatkan kenaikan dua digit (11.3 peratus), diikuti pertanian, perhutanan dan perikanan (3 peratus) dan pembuatan (1.3 peratus).
“Sementara itu, bekalan air dan bekalan elektrik & gas masing-masing turun 0.2 peratus dan 0.1 peratus,” katanya dalam kenyataan.
Dalam kenyataan itu, Jabatan Perangkaan turut melaporkan bahawa IHPR pengeluaran tempatan tahun ke tahun mengikut peringkat pemprosesan bagi indeks bahan mentah untuk diprosesakan selanjutnya mencatatkan penurunan 3.4 peratus pada Januari.
“Walau bagaimanapun, bahan perantaraan, bekalan & komponen dan barang siap masing-masing naik 1.1 peratus dan 0.1 peratus,” jelasnya. – UTUSAN