Hutang tertunggak SPNB Perak RM2.88 juta - Utusan Malaysia

Hutang tertunggak SPNB Perak RM2.88 juta

TAJUL Safuan Abu Hassan (kanan) menyerahkan inden pembinaan rumah mesra rakyat kepada Jamaluddin Abdul Rahim di Ipoh, semalam. – UTUSAN/SHAARI ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Hutang tertunggak pembiayaan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) Perak kini turun kepada RM2.88 juta berbanding RM3.65 juta sebelum ini.

Pengarah SPNB Perak, Tajul Safuan Abu Hassan berkata, tunggakan itu membabitkan sebanyak 5,349 pemegang akaun.

“Bagi memastikan jumlah itu akan terus dikurangkan, SPNB akan terus turun padang berjumpa pemilik bagi memboleh­kan tunggakan dapat diselesaikan.

“Ada antara pemilik yang sudah 36 bulan atau tiga tahun gagal menjelaskan bayaran bulanan, SPNB faham jika tunggakan berlaku dalam tempoh kebelakangan kerana kita dilanda pandemik Covid-19.

“Tetapi jika sudah tiga tahun gagal menjelaskan tunggakan mereka perlu datang berbincang dan memaklumkan kepada SPNB supaya kita dapat mencari jalan membantu mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyam­paikan inden pembinaan Rumah Mesra Rakyat SPNB kepada Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Perak di Bangunan PKMM di sini, semalam.

Hadir sama, Presiden PKMM, Datuk Seri Mohamed Fadzill Hassan dan Yang Dipertua PKMM Perak, Datuk Wira Jamaluddin Abdul Rahim.

Tajul Safuan berkata, SPNB akan memastikan tunggakan pembiayaan akan dapat diminimumkan dan dapat diselesaikan sepenuhnya melalui usaha mengesan dan turun padang yang dijalankan.

Katanya, sebahagian besar pemilik rumah terdiri daripada pekebun dan petani serta mereka yang bekerja sendiri dengan pendapatan bawah RM3,000 sebulan dengan ansuran bulan pembiayaan antara RM150 hingga RM270 sebulan.

Katanya, jika tunggakan itu dapat diselesai dan diminimumkan, ia akan dapat memberikan peluang kepada lebih 5,000 permohonan baharu yang kini me­nunggu kelulusan untuk diproses.

Sementara itu, Jamaluddin berkata, kerjasama membabitkan PKMM dan SPNB iatu adalah yang pertama dilaksanakan antara badan bukan kerajaan (NGO) dan kerajaan.

Katanya, melalui kerjasama itu, PKMM akan menyiapkan sebanyak 240 unit kediaman mesra rakyat dengan kos seba­nyak RM16.8 juta untuk dalam tempoh suku pertama tahun ini.

Beliau berkata, dianggarkan seramai 150 kontraktor yang bernaung di bawah PKMM Perak akan mendapat manfaat melalui kerjasama itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya