PETALING JAYA: Hong Leong Islamic Bank (HLISB) memenangi Anugerah Kecemerlangan IRBA untuk perbankan Islam digital.
Ketua Pegawai Eksekutif HLISB, Jasani Abdullah berkata, kemenangan itu mengiktiraf trajektori serta ikhtiar pasukan untuk mencapai matlamat menyediakan pengalaman perbankan Islam digital dan patuh syariah.
“Sepanjang perjalanan digital ini, HLISB telah mencatat pencapaian disegani dalam perbankan runcit Islam digital, memenuhi keperluan pelanggan yang kian mengutamakan pelantar digital dan mudah alih,” katanya dalam kenyataan.
Jasani berkata, bank telah melancarkan inisiatif Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) yang membolehkan pelanggan membeli dana melalui HLB Connect.
Selain itu, katanya, proses pembiayaan ASNB di cawangan bank turut dinaik taraf supaya proses menghantar permohonan dipermudahkan dengan hanya menggunakan komputer tablet yang tersedia di setiap cawangan.
Baru-baru ini, HLISB menjadi bank pertama di Malaysia menawarkan pengalaman onboarding digital sepenuhnya dan mudah untuk orang ramai yang ingin membuka akaun menggunakan aplikasi mudah alih Apply@HLB.
“HLISB turut bekerjasama dengan Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) untuk meringkaskan proses pembayaran Zakat dalam talian,” katanya. – UTUSAN