PETALING JAYA: Hong Leong Bank (HLB) telah melancarkan platform Sustainability Roundtable yang dilakukan secara maya untuk berhubung dengan pelanggan perniagaan kecil dan sederhana (PKS) dan korporatnya dalam perbualan transformasi mampan.
Ia bertujuan meningkatkan kesedaran dan memberi inspirasi untuk berubah walaupun dengan cabaran yang dihadapi oleh beberapa industri utama ketika mereka memulakan perjalanan kelestarian.
HLB memulakan perbincangan sesi Sustainability Roundtable dengan pembuatan plastik yang membincangkan tentang prospek industri dan persiapan masa depan yang mampan bersama Presiden Persatuan Pengilang Plastik Malaysia, Datuk Lim Kok Boon, Pengarah Eksekutif Thong Guan Industries, Alvin Ang, dan, Penyelaras Wilayah SEA WWF-Malaysia, Jazlyn Lee. Sesi tersebut dikendalikan oleh Pakar Kewangan Lestari WWF-Malaysia, Dr. Adam Ng.
Pengarah Urusan Perniagaan dan Perbankan Korporat HLB, Yow Kuan Tuck berkata, dengan tekanan yang semakin meningkat untuk perniagaan bertindak balas terhadap ancaman dan risiko kelestarian yang dihadapi, adalah penting untuk melakukan tranformasi ke arah kelestarian bagi mencari peluang untuk melindungi dan mengekalkan perniagaan mereka.
“Di HLB, kelestarian adalah keutamaan kami dan kami ingin memperkasakan pelanggan bukan sahaja dengan mengasimilasikan pertimbangan ESG sebagai sebahagian daripada strategi perniagaan mereka, tetapi turut membantu mereka untuk berinovasi dan mengubah risiko kelestarian mereka menjadi peluang.
“Kami sedar, bahawa bergerak ke arah kelestarian merupakan perubahan yang besar bagi kebanyakan pelanggan kami. Oleh itu, mereka memerlukan rakan kongsi untuk membantu dalam transformasi mampan mereka,” katanya dalam kenyataan.
Bank itu telah berhubung dengan pihak berkepentingan dalam industri termasuk persatuan dan organisasi serta syarikat yang telah melakukan transformasi mampan untuk berkongsi dan membincangkan faedah dan cabaran dalam amalan kelestarian untuk faedah pelanggan.
Selain itu, HLB turut menerapkan pendekatan inklusif di mana pihaknya bekerjasama dengan pelanggan untuk menyokong mereka dari segi kewangan dengan membantu menilai risiko dan mengurangkan kerugian dalam perjalanan transformasi mereka.
“Kami akan mengadakan lebih banyak sesi meja bulat itu dengan kerjasama persatuan perdagangan, pihak berkuasa dan pemimpin berkaitan dengan industri dalam pembuatan getah, bahan kimia, logam, perhutanan, pertanian, minyak sawit, dan perlombongan atau penggalian, di saluran paip sepanjang tahun ini,” tambah Kuan Tuck. – UTUSAN