FGV guna inovasi tingkat pengeluaran bahan tanaman - Utusan Malaysia

FGV guna inovasi tingkat pengeluaran bahan tanaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: FGV Holdings Berhad (FGV) telah meningkatkan pengeluaran bahan tanaman pisang, buluh, kelapa dan padi melalui inovasi, untuk memenuhi permintaan domestik yang semakin meningkat bagi aktiviti pertanian tanaman.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, penggunaan bahan tanaman yang betul adalah satu daripada faktor utama yang menentukan kejayaan pengeluaran tanaman secara komersial.

“Peningkatan permintaan daripada pelanggan menunjukkan kemampuan kami dalam menawarkan pelbagai produk berkualiti tinggi melalui penyelidikan kultur tisu secara mendalam, infrastruktur penyelidikan & pembangunan (R&D) yang canggih, serta pengalaman lebih 50 tahun dalam penyelidikan klonal.

“Pengeluaran spesies buluh betong disasarkan sebanyak dua juta tahun ini, meningkat dua kali ganda daripada satu juta klon pisang tahun lalu yang dihasilkan untuk memenuhi peningkatan permintaan bagi spesies Berangan, Cavendishj dan Tanduk,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, pengeluaran terus meningkat pada kadar 100 peratus setiap tahun sejak 2019 bagi memenuhi permintaan pasaran khusus pisang segar dan industri makanan berasaskan pisang.

Menurutnya, bagi bahan tanaman klon buluh pula, pengeluaran buluh betong disasarkan sebanyak satu juta menjelang 2022 daripada jumlah semasa sebanyak 200,000.

Betong merupakan jenis buluh yang paling terkenal secara komersial kerana fungsinya sebagai bahan asas untuk pembinaan hingga pemuliharaan tanah dan kawalan hakisan.

Ia juga boleh menjadi sumber bahan mentah yang lestari kerana tempoh matang yang singkat dalam masa tiga hingga empat tahun, dan dapat bertahan hingga 100 tahun.

“Dengan pengeluaran komersial betong, Pusat Inovasi FGV di Enstek, Negeri Sembilan menjadi makmal kultur tisu tanaman pertama di Malaysia yang berjaya menghasilkan anak benih klon buluh betong secara besar-besaran,” kata Haris Fadzilah.

Selain betong, penyelidikan klon FGV juga menyasarkan untuk menghasilkan bahan tanaman klon buluh baharu varieti Semantan menjelang 2022.

Buluh semantan yang dapat ditanam di seluruh Malaysia itu digunakan sebagai bahan asas untuk papan partikel, kraftangan dan aplikasi seperti penyepit makanan, pencungkil gigi dan lidi sate.

Sementara itu, FGV turut meningkatkan pengeluaran bahan tanaman kelapa pandan sebanyak 70,000 pada 2021, peningkatan sebanyak 20,000 berbanding tahun lalu.

Pada masa ini, 70 peratus bahan tanaman yang dihasilkan dibekalkan untuk aktiviti penanaman dalaman FGV, sementara 30 peratus lagi dijual kepada pasaran domestik.

Selain spesies pandan, FGV menyasarkan untuk menghasilkan 200,000 anak benih kelapa MATAG menjelang  2025 selepas tempoh matang benih kelapa seluas 50 hektar yang terletak di Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak di Jerantut, Pahang.

MATAG adalah varieti kelapa yang paling digemari, di mana ia dapat menghasilkan hingga 25,000 lebih banyak kelapa sehektar setiap tahun berbanding kelapa biasa. Kelapa MATAG sesuai untuk menghasilkan air kelapa, santan dan minyak kelapa dara.

“Kami juga menawarkan perkhidmatan pengklonan kontrak untuk menghasilkan pelbagai bahan tanaman yang lain secara besar-besaran mengikut keperluan projek pertanian pelanggan atau penanaman ladang mereka.

“Bahan tanaman yang boleh di klon termasuk tanaman yang mempunyai nilai komersial dan sesuai untuk pembiakan mikro in-vitro. Antara bahan tanaman baharu yang memiliki nilai pasaran tinggi termasuk vanila dan guarana,” jelas Haris Fadzilah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya