Facebook, Google perlu bayar kandungan digital di Australia - Utusan Malaysia

Facebook, Google perlu bayar kandungan digital di Australia

Inisiatif Australia itu mendapat perhatian global memandangkan agensi media di seluruh dunia terjejas teruk dengan kepesatan ekonomi digital. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Parlimen Australia meluluskan undang-undang pertama di dunia yang memaksa syarikat gergasi digital seperti Facebook Inc. dan Google membayar penerbit tempatan untuk kandungan berita, seterusnya memungkinkan pelancaran lebih banyak tindakan peraturan global untuk mengehadkan kuasa mereka.

Bendahari, Josh Frydenberg berkata, undang-undang yang diluluskan kelmarin akan memastikan perniagaan media be­rita dibayar dengan adil untuk kandungan yang mereka hasilkan.

“Kod itu adalah reformasi mikroekonomi yang signifikan dan telah menarik perhatian dunia terhadap parlimen Austra­lia,” katanya dalam kenyataan.

Inisiatif Australia itu mendapat perhatian global memandangkan agensi media di seluruh dunia terjejas teruk dengan kepesatan ekonomi digital apabila pendapatan iklan kini ber­alih kepada firma teknologi besar seperti Facebook dan Google.

Perdana Menteri Australia, Scott Morrison mengatakan bahawa beliau telah membincangkan undang-undang baharu berkenaan dengan para pemimpin India, Kanada, Perancis dan United Kingdom.

Syarikat teknologi gergasi Amerika Syarikat itu telah berunding dengan kerajaan Australia untuk mendapatkan konsesi.

Google yang dimiliki Alphabet Inc. tahun lalu mengatakan akan mematikan enjin cariannya di Australia sekiranya undang-undang tersebut digubal. Sementara itu Facebook menyekat berita di platform Australia yang bertentangan dengan undang-undang itu, tindakan dramatik yang mengundang kecaman daripada Morrison.

Selepas perbincangan 11 jam dengan Ketua Pegawai Eksekutif Facebook Mark Zuckerberg, kerajaan bersetuju untuk meminda undang-undang itu dan platform media sosial berjanji akan mengakhiri news blackout tersebut.

Di antara konsesi utama, kerajaan akan mempertimbangkan tawaran komersial yang dicapai oleh Google dan Facebook dengan syarikat berita sebelum memutuskan sama ada mereka diperuntukkan undang-undang, dengan notis sebulan.

Platform itu juga memperoleh lebih banyak masa untuk mencapai kesepakatan dengan penerbit media sebelum mereka terpaksa membuat timbang tara tawaran akhir sebagai pilihan terakhir.

Google secara sukarela te­lah membuat perjanjian untuk membayar banyak penerbit Australia untuk berita, termasuk News Corp. dan Facebook turut melakukan perkara sama.

Frydenberg berkata, kerajaan gembira melihat kemajuan oleh Google dan baru-baru ini Facebook dalam mencapai perjanjian komersial dengan perniagaan media berita Australia.

Undang-undang baharu itu akan ditinjau oleh Perbendaharaan dalam tempoh setahun untuk memastikan undang-undang tersebut benar-benar berfungsi. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya