PUTRAJAYA: Prestasi eksport barangan getah Malaysia sepanjang tahun lalu meningkat 73.9 peratus dengan sumbangan sebanyak RM40.97 bilion kepada pendapatan negara.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, walaupun penularan wabak Covid-19 memberi kesan yang amat signifikan dan mengubah landskap aktiviti ekonomi negara, namun keadaan tersebut memberi impak positif kepada sektor hiliran getah terutama industri sarung tangan getah.
Menurut beliau, peningkatan tersebut didorong oleh permintaan tinggi sektor perubatan dan kesihatan seluruh dunia, dalam usaha membendung pandemik itu.
“Terkini, produk ini menyumbang hampir 90 peratus kepada pendapatan eksport barangan getah negara dengan sarung tangan Malaysia menguasai lebih 60 peratus pasaran dunia.
“Eksport ke Amerika Syarikat (AS) yang merupakan pasaran utama sarung tangan getah negara telah meningkat hampir 84 peratus daripada RM6.47 bilion pada 2019 kepada RM11.89 bilion 2020,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Mohd. Khairuddin berkata, pasaran utama lain bagi produk berkenaan turut mencatatkan peningkatan eksport memberangsangkan iaitu Jerman sebanyak 82 peratus, Jepun (84 peratus), United Kingdom (201 peratus) dan China (146 peratus).
Jelas beliau, permintaan tinggi terhadap sarung tangan getah menyebabkan lebih ramai pekerja diperlukan.
Katanya, berdasarkan anggaran Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA), industri itu memerlukan sebanyak 34.7 peratus atau 25,000 lagi pekerja baharu.
“Bagi menyokong usaha ini, kementerian melalui Majlis Getah Malaysia (MRC) telah menyediakan dana subsidi upah sebanyak RM36 juta untuk menggalakkan industri hiliran getah negara mengambil pekerja tempatan dalam industri tersebut.
“Kementerian terus komited untuk memudah cara dan memantau operasi sektor industri sarung tangan getah untuk kekal beroperasi dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya. – UTUSAN