Ekonomi tumbuh tahun ini - Utusan Malaysia

Ekonomi tumbuh tahun ini

Trajektori pertumbuhan ekonomi dijangka lebih baik dari suku kedua 2021. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ekonomi Malaysia tahun ini dijangka tumbuh lebih baik dengan sokongan permintaan luaran yang meningkat serta ekonomi domestik yang kembali normal.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, ia berdasarkan impak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kedua tahun ini yang tidak seteruk tahun lalu.

Tambahan lagi, kata beliau, sektor-sektor ekonomi yang penting dan utama juga dibenarkan beroperasi ketika tempoh PKP, menjadikan kesan yang dirasai ekonomi tidak begitu parah.

“Pertumbuhan ekonomi akan dipengaruhi PKP, tetapi kesannya tidak seteruk pada 2020.

“Trajektori pertumbuhan dijangka lebih baik dari suku kedua dan seterusnya dengan dorongan pemulihan permintaan global serta program vaksinasi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pengumuman data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat yang dijalankan secara maya semalam.

Nor Shamsiah Mohd. Yunus

Sementara itu, Nor Shamsiah berkata, pihaknya masih belum memutuskan sama ada perlu menyemak semula unjuran pertumbuhan 6.5 peratus hingga 7.5 peratus yang dibuat kerajaan sebelum ini.

Kata beliau, pihaknya akan sentiasa memerhatikan perkembangan yang berlaku baik dari segi pelaksanaan PKP, corak kes jangkitan Co­vid-19, program vaksinasi atau perkembangan ekonomi dunia.
“Saya berharap semua pihak boleh bersabar sedikit kerana kami akan berbincang lagi pada bulan hadapan,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, prestasi KDNK 2020 yang me­nguncup 5.6 peratus sudah dijangka, namun ia tersasar daripada jangkaan awal.

Pencapaian itu kata beliau, menunjukkan impak daripada gelombang ketiga suku keempat 2020 yang menyaksikan jumlah jangkitan kes Covid-19 mula melebihi 200 kes sehari pada Oktober dan melebihi empat angka bermula November.

“Ini menyebabkan ramai rakyat kekal duduk di rumah dan tidak keluar berbelanja serta melancong, menyebabkan banyak sektor terjejas seperti hospitaliti, pelancongan dan pengangkutan. Ini menyebabkan kita tidak menyaksikan pertumbuhan positif pada suku keempat.

“Unjuran KDNK suku pertama 2021 dijangka akan kekal negatif, mungkin sekitar -4 peratus, disebabkan pelaksanaan PKP 2.0. Ini kerana, banyak sektor ditutup dan kadar pengangguran kekal tinggi,” katanya.

Menurut Ahmed Razman, pelbagai inisiatif dilaksanakan kerajaan bakal memberi impak selepas suku kedua 2021 apabila lebih banyak peruntukan di bawah Belanjawan 2021 disalurkan kepada rakyat dan peniaga, selain vaksin mula diedarkan dan PKP pula dilonggarkan.

“Ini membolehkan lebih banyak sektor beroperasi seperti biasa dan rentas negeri dibenarkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya