DRB-HICOM University, SIB jalin kerjasama - Utusan Malaysia

DRB-HICOM University, SIB jalin kerjasama

OMAR OSMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: DRB-HICOM University of Automotive Malaysia (DRB-HICOM University) dan Sterling Insurance Brokers Sdn. Bhd. (SIB) baru-baru ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk membangunkan program-program latihan eksekutif dalam bidang pengurusan risiko dan perancangan strategik.

Pada majlis yang diadakan secara maya itu, DRB-HICOM University diwakili Naib Canselor merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) HICOM University College Sdn. Bhd. (HUCSB), Prof. Datuk Dr. Omar Osman, manakala SIB diwakili Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Sterling Group, Wan Muzamir Fitri Che Wan.

Turut hadir, CEO Kumpulan Sterling Group, Abdul Halim Jantan.

Di bawah kerjasama itu, DRB-HICOM University akan menawarkan program berkenaan melalui unit latihannya, Institut Latihan Korporat.

Ia akan memberi peluang kepada eksekutif korporat dan orang awam untuk meningkatkan kemahiran dan kecekapan pekerjaan mereka dalam bidang pengurusan risiko serta perancangan strategik.

Selain itu, ia juga membuka jalan kepada graduan yang ingin memajukan kerjaya mereka dalam bidang berkenaan, untuk melanjutkan pengajian dalam program Ijazah Sarjana.

Omar berkata, kerjasama itu membolehkan pengamal industri dan pakar-pakar risiko dari Sterling berkongsi pengalaman serta pengetahuan luas mereka yang akan dibangunkan sebagai bahan latihan dalam silibus program berkenaan.

“Program ini akan ditawarkan menerusi konsep micro-credential, sejajar dengan hala tuju industri pendidikan global masa kini,” katanya.

Sementara itu, Abdul Halim berkata, kerjasama tersebut merupakan detik bersejarah bagi Sterling Group.

“Kami gembira dapat berkongsi pengalaman dan kepakaran khusus kami dalam bidang pe­ngurusan risiko. Ini membolehkan Pengurus Risiko memperolehi pengetahuan yang lebih mendalam dan meningkatkan kecekapan kerja mereka.

“Kerjasama dengan DRB-HICOM University ini membolehkan kami memainkan peranan penting dalam memperlengkapkan tenaga kerja negara dengan kemahiran yang relevan dan meningkatkan taraf industri kini,” kata­nya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya