BENGALURU: Harga emas mengukuh dalam tempoh seminggu dipacu kelemahan dolar Amerika Syarikat (AS) dan pengurangan hasil Perbendaharaan AS semalam, di samping kebimbangan peningkatan inflasi, sekali gus melonjakkan tarikan bullion.
Emas naik 0.4 peratus kepada AS$1,815.52 (RM7,337.97) satu auns, setelah mencapai paras tertinggi sejak 16 Februari pada AS$1,815.63 (RM7,338.41) di awal sesi. Niaga hadapan emas AS meningkat 0.3 peratus kepada AS$1,813.50 (RM7,329.80).
Penganalisis IG Market, Kyle Rodda berkata, selain emas, dolar adalah aset yang digemari pada masa ini sehingga menyokong peningkatan harga emas.
“Trend emas nampaknya menurun dan tiada petunjuk sekiranya terdapat perubahan sekarang, sehingga kita mendapat lonjakan jangkaan inflasi atau persekutuan yang mengawal keluk hasil,” katanya.
Dolar AS mencecah paras terendah lebih dari satu bulan, menjadikan emas mampu dimiliki oleh pemegang mata wang lain, kerana para pelabur menunggu testimoni Pengerusi Rizab Persekutuan AS, Jerome Powell kepada Kongres nanti.
Emas yang sering dilihat sebagai lindung nilai inflasi, meningkat 1.5 peratus pada sesi sebelumnya, kerana kebimbangan kenaikan inflasi menyeret ekuiti global lebih rendah.
Bank Pusat Eropah kelmarin memberi isyarat bahawa pembuat dasar menjadi tidak selesa dengan lonjakan hasil bon kerajaan baru-baru ini.
“Emas mendapat sambutan dalam tempoh pandemik ini kerana para pelabur mencari tempat berlindung untuk dana. Tetapi keadaan sudah berubah, apabila kadar faedah mulai meningkat dan para pelabur beralih kepada bon.
“Namun, pulangan faedah tetap mungkin terhakis teruk jika inflasi turun,” kata penganalisis ANZ dalam satu catatan.
Sementara itu, perak naik 0.3 peratus kepada AS$28.23 (RM114.10) satu auns, selepas mengukuh selama tiga minggu pada AS$28.31 (RM114.42). Platinum pula naik 0.1 peratus kepada AS$1,273.10 (RM5,145.62), sementara paladium menokok 0.5 peratus kepada AS$2,406.41 (RM9,726.23).– AGENSI