ALOR SETAR: Selepas 15 tahun beroperasi, Hotel BDB kepunyaan syarikat milik kerajaan negeri, Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB) bakal ditukar menjadi pangsapuri perkhidmatan dalam masa terdekat.
Naib Presiden Kumpulan BDB, Mohd. Sobri Hussein berkata, perubahan itu merupakan satu daripada inisiatif yang diambil bagi mengharungi cabaran semasa industri perhotelan ekoran Covid-19.
“Secara kebetulan, lesen perniagaan Hotel BDB akan tamat dalam masa terdekat.
“Perubahan konsep ini bagaimanapun tidak menjejaskan para pekerja di situ dengan mereka akan ditempatkan di anak-anak syarikat Kumpulan BDB bagi menjamin kebajikan masing-masing,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Hotel tersebut yang terletak di Bandar Darulaman, Jitra mula beroperasi pada 2006 dengan lebih 100 bilik penginapan dan chalet.
Antara kemudahan terdapat di situ termasuklah dewan mesyuarat yang boleh menempatkan 300 peserta serta kolam renang buat tetamu.
Mengulas lanjut, Mohd. Sobri berkata, melalui konsep baharu itu, sebanyak 72 pangsapuri akan dibuka untuk dijual atau disewa kepada sesiapa sahaja yang berminat.
“Kumpulan BDB juga berharap rancangan ini dapat berjalan lancar. Dalam masa sama, langkah ini juga diharap dapat memberi kebaikan kepada syarikat serta pekerja,” katanya. – UTUSAN