PETALING JAYA: Axiata Group Bhd. merekodkan kerugian RM255.95 juta pada suku keempat yang berakhir pada 31 Disember 2020 dan dividen interim kedua sebanyak 5 sen sesaham.
Pendapatan suku keempatnya tidak menunjukkan perubahan ketara dengan RM6.262 bilion berbanding RM6.267 bilion dalam suku sama tahun sebelumnya.
Keuntungan suku terakhir 2020 dipengaruhi oleh penyusutan dan penghapusan aset yang dipercepat, terutamanya untuk aset 3G berjumlah RM1.06 bilion.
“Akibatnya, keuntungan kumpulan selepas cukai dan kepentingan minoriti menunjukkan penurunan ketara sekali gus mencatatkan kerugian bersih masing-masing RM398.4 juta dan RM256 juta,” kata Axiata dalam catatan hasil kewangannya.
Untuk tahun kewangan penuh, keuntungan bersih Axiata menjunam 74.9 peratus kepada RM365.15 juta, atau perolehan 4 sen sesaham (EPS) berbanding RM1.45 bilion atau 16 sen EPS.
Walaupun mencatatkan penurunan pendapatan, Axiata menyatakan pendapatan kumpulan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) meningkat 1.1 peratus kepada RM10.7 bilion berdasarkan pertumbuhan pendapatan (bekas peranti) di Dialog3, Robi4 dan Smart5 dengan penjimatan perbelanjaan operasi sebanyak RM745 juta.
Mengulas mengenai pendapatan kumpulan itu, Presiden Axiata dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Izzaddin Idris berkata, dengan optimisme yang berhati-hati tahun ini, syarikat terus menumpukan pada penjimatan wang terutamanya melalui kecekapan capex dan usaha berdisiplin dalam menguruskan kos sambil mengorak langkah ke arah peluang pertumbuhan dalam norma baharu.
“Oleh itu, kami amat gembira dengan hasil yang lebih baik berbanding jangkaan untuk tahun lalu, dengan pendapatan dan EBITDA tetap stabil walaupun telah mengurangkan eksternaliti. Baki tunai yang tinggi sebanyak RM7.2 bilion memberi kami keyakinan untuk menghala ketidakpastian dan peluang perkembangan.
“Kami membuat keputusan penting dan mempercepat penutupan 3G di seluruh kumpulan dalam usaha meningkatkan ketahanan rangkaian untuk masa depan yang dinamik dan intensif digital,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan Axiata telah bersetuju untuk bekerjasama dengan syarikat untuk tawaran mendapatkan lesen perbankan digital dan akan mengumumkan perinciannya tidak lama lagi.
“Tarikh akhir 30 Jun tidak terlalu jauh. Kami berharap dapat mengumumkan perkongsian ekuiti dengan satu rakan kongsi dan pada masa yang sama kami berharap dapat mengumumkan perkongsian komersial dengan beberapa organisasi lain,” ujarnya. – UTUSAN