PETALING JAYA: Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi menggantikan Tunku Alizakri Alias berkuat kuasa 1 Mac ini.
Tunku Alizakri memegang jawatan tersebut selama lebih dua tahun bermula 20 Ogos 2018.
Amir Hamzah sebelum ini merupakan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd. Zahir berkata, pihaknya dengan berat hati mengucapkan selamat tinggal dan terima kasih kepada Tunku Alizakri yang secara keseluruhannya berkhidmat dengan agensi itu selama tujuh tahun, bermula dengan jawatan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Strategi), seterusnya Ketua Pegawai Eksekutif.
“Wawasan, semangat dan komitmen Tunku Alizakri kepada semua pemegang taruh KWSP, terutamanya ahli kami, ialah bukti keinginan KWSP ke arah pencepatan digital dan keberkesanan operasi, pengamalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta kemampanan sebagai metrik utama selain memperkasa agenda perlindungan sosial dan kesejahteraan.
“Bagi pihak KWSP, saya menyampaikan rasa penghargaan kepada Tunku Alizakri atas khidmat penuh teladannya kepada KWSP dan mendoakan kejayaannya pada masa hadapan.
“Pada masa sama, saya ingin mengalu-alukan kehadiran Datuk Seri Amir Hamzah atas pelantikannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu KWSP,” katanya dalam kenyataan hari ini.