DALLAS: American Airlines Group Inc. memberi amaran kira-kira 13,000 kakitangannya berisiko diberhentikan apabila pakej bantuan Amerika Syarikat (AS) untuk pekerja syarikat penerbangan berakhir pada 1 April depan.
Ia susulan pelancaran vaksin yang perlahan dan sekatan perjalanan antarabangsa baharu mengurangkan permintaan.
Ketua Pegawai Eksekutif American Airlines, Doug Parket dan Presiden, Robert Isom dalam memo kepada pekerja yang juga disertakan dalam makluman kepada bursa memberitahu, syarikat itu berada dalam situasi hampir sama dengan tahun lalu.
Amaran itu dikeluarkan kurang seminggu selepas United Airlines Holdings Inc. memberitahu 14,000 kakitangan bahawa tiada jaminan pekerjaan buat mereka.
Delta Air Lines Inc. dan Southwest Airlines Co. pula telah menolak pemberhentian kerja terutama disebabkan kejayaan program cuti secara sukarela.
American dan United juga telah menawarkan tawaran sukarela untuk mengurangkan kakitangan tahun lalu tetapi masih terpaksa memberhentikan ramai lagi.
Syarikat yang berpangkalan di Texas, Amerika Syarikat (AS) itu telah memberhentikan 19,000 pekerja sebelum ini selepas sokongan bantuan kerajaan berakhir 1 Oktober lalu tetapi memanggil semula bekerja pada Disember selepas suntikan AS$15 bilion (RM60.69 bilion) kepada industri penerbangan sehingga Mac.
Kesatuan penerbangan sudah meminta bantuan gaji sebanyak AS$15 bilion (RM60.87 bilion) lagi untuk melindungi pekerjaan hingga musim panas.
American menambah, syarikat itu tidak akan terbang sehingga musim panas tahun ini seperti yang telah dirancang.
“Vaksin tidak diedarkan dengan cepat seperti yang diharapkan dan sekatan perjalanan antarabangsa baharu yang memerlukan pelanggan menjalani ujian Covid-19 telah menurunkan permintaan,” katanya.
American berkata, syarikat akan melancarkan pusingan pemberhentian baharu dalam usaha mengurangkan pemberhentian secara sukarela.
Seramai 1,850 juruterbang dan 4,245 kru kabin berpotensi diberhentikan, manakala juruterbang United meluluskan perjanjian akhir tahun lalu untuk mengelakkan berlakunya masalah sehingga Jun. – AGENSI