PETALING JAYA: Allianz Life Insurance Malaysia Berhad (Allianz Life) bekerjasama dengan Pos Malaysia Bhd (Pos Malaysia) untuk memperkenalkan pelan insurans hayat mampu milik dan mudah diakses, Pos LifeCare untuk rakyat Malaysia ketika pandemik Covid-19.
Pelan itu memberikan perlindungan untuk kematian dan manfaat hilang upaya kekal dan menyeluruh (TPD), dengan manfaat tambahan untuk kematian akibat kemalangan atau TPD, serta kematian akibat jangkitan denggi dan Covid-19.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Life, Joseph Gross, pelan Pos LifeCare juga menawarkan manfaat tunai hospital sekiranya pemegang polisi dimasukkan ke hospital kerana demam denggi.
Katanya, ia adalah produk insurans hayat bertempoh berkelompok tanpa penyertaan yang
boleh diperbaharui secara tahunan di bawah Polisi Induk Pos Malaysia.
Beliau berkata, kerjasama itu bertujuan untuk menyediakan pelan perlindungan hayat untuk rakyat Malaysia di kawasan bandar dan luar bandar.
“Pos Malaysia telah menghubungkan individu dan perniagaan selama lebih dari 200 tahun. Ia mempunyai jaringan pengiriman dan titik sentuh terbesar di negara ini, yang akan memperluaskan jangkauan kami.
“Pos LifeCare adalah pelan asas yang akan ditawarkan kepada semua rakyat Malaysia berusia 18 hingga 70 tahun yang menjejakkan kaki ke cawangan Pos Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Perkhidmatan Pos, Mohamed Rozaidi Md. Sharif pula berkata, pihaknya berbangga kerana dapat bekerjasama dengan Allianz Life dalam menyediakan pelan insurans hayat yang berpatutan untuk rakyat Malaysia, dengan menawarkan premium dari harga serendah RM0.14 sehari.
“Kami berharap agar dapat memanfaatkan kepakaran dan portfolio produk Allianz Life yang komprehensif untuk memperkukuhkan saranan produk Pos LifeCare dan memenuhi keperluan individu pelanggan kami,” katanya.
Terdapat di semua cawangan Pos Malaysia di seluruh negara, Pos LifeCare menawarkan tiga pelan berbeza. Pelan 1 memberikan manfaat kematian atau TPD sebanyak RM3,000; manfaat tambahan RM10,000; dan manfaat tunai hospital kerana denggi sebanyak RM30 sehari.
Sementara itu, individu yang diinsuranskan di bawah Pelan 2 layak mendapat manfaat kematian atau TPD sebanyak RM5,000; manfaat tambahan RM20,000; dan manfaat tunai hospital kerana denggi sebanyak RM50 sehari.
Pelan 3 pula menawarkan manfaat kematian atau TPD sebanyak RM7,000; manfaat tambahan RM30,000; dan manfaat tunai hospital kerana denggi sebanyak RM70 sehari. – UTUSAN