Mildef sasar kontrak RM250 juta - Utusan Malaysia

Mildef sasar kontrak RM250 juta

MILDEF International Technologies (Mildef) telah menerima kontrak penyelegaraan membabitkan beberapa aset milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tahun ini. - IHSAN MILDEF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Disebalik penularan Covid-19, syarikat pengeluar peralatan ketenteraan MILDEF International Technologies (Mildef) mengunjurkan perolehan kontrak antara RM 200 sehingga RM250 juta tahun ini bagi kerja-kerja penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO).

Pengarah Mildef, Mohd. Nahar Mohd. Nasir berkata, jumlah tersebut dijangka meningkat berbanding jumlah pendapatan tahun lalu iaitu RM 40 sehingga RM50 juta.

Katanya, unjuran tersebut dibuat berdasarkan prestasi semasa syarikat yang telah menerima kontrak penyelenggaraan membabitkan beberapa aset milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Kami telah bertapak lebih kurang 16 tahun dengan kepakaran baik pulih serta menyelenggara aset kenderaan berperisai dan kami sasarkan untuk melaksanakan kerja penyelenggaran kenderaan pengangkut berperisai (APC), Adnan milik Tentera Darat.

“Unjuran pendapatan berdasarkan nilai kontrak itu turut disumbang kemampuan syarikat kami dalam pembinaan kenderaan awam lain termasuk ambulans,” kata beliau.

Dalam pada itu, Mohd. Nahar memberitahu pihaknya dijangka akan mengeluarkan kenderaan berperisai bagi kegunaan Tentera Darat dalam masa terdekat, namun enggan mengulas lebih lanjut.

“Kita merancang untuk menghasilkan kereta perisai 4X4 buatan tempatan sepenuhnya dan setanding dengan produk-produk import terkemuka yang kini berada di pasaran antarabangsa.

“Malah produk ini juga dijangka akan dipesarkan ke beberapa buah negara luar lain seperti Afrika Selatan, Timor Leste dan Brunei,” ujarnya.

Mohd. Nahar menjelaskan penghasilan kereta perisai berkenaan juga bersandarkan kepada keperluan semasa dan akan datang serta pengalaman tentera dalam melaksanakan operasi mereka termasuk ketika berlaku peristiwa pencerobohan pihak asing di Lahad Datu, Sabah.

Katanya, pengeluaran kereta perisai yang dilengkapi teknologi akan menjadi manifestasi keupayaan tempatan bersandarkan kecemerlangan syarikat dalam kerja-kerja penyelenggaraan, dan membaik pulih peralatan berat.

“Malaysia sebelum ini terlalu bergantung kepada pembekal peralatan tentera antarabangsa. Oleh itu, negara kita perlu mengeluarkannya sendiri,” tambah beliau lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya