KUALA LUMPUR: Pharmaniaga Lifescience Sdn. Bhd. (PLS) memberi jaminan pihaknya mempunyai kepakaran, pengetahuan dan sumber yang cukup untuk membotolkan Vaksin Covid-19 daripada syarikat China, Sinovac Life Sciences Co. Ltd. (Sinovac).
Dalam penjelasannya kepada Bursa Malaysia, anak syarikat milik penuh Pharmaniaga Berhad itu memberitahu, pihaknya memperuntukkan kira-kira RM3 juta untuk menaik taraf fasilitinya di Puchong, Selangor dan turut mempunyai pengalaman mengendalikan produk boleh suntik selama 10 tahun.
“PLS mempunyai segala kepakaran, pengetahuan dan sumber yang diperlukan untuk pembotolan vaksin Covid-19.
“PLS telah melakukan kerja pengisian steril dan pengilangan produk boleh suntik sejak 2010 dan fasiliti yang digunakan mendapat kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) serta memiliki sijil amalan pengilangan baik (GMP) Kesatuan Eropah (EU),” katanya.
PLS mendapat hak membotolkan 14 juta dos vaksin Covid-19 yang dikeluarkan Sinovac melalui perjanjian yang ditandatangani kedua-dua pihak Selasa lalu.
Vaksin tersebut telah melepasi ujian klinikal tahap ketiga di Brazil dan Turki.
Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga, Datuk Zulkarnain Md. Eusope, PLS akan menggunakan kilang suntikan volum kecil (SVI) berteknologi tingginya di Puchong untuk menjalankan proses pembotolan vaksin tersebut.
PLS memaklumkan, pihaknya dengan Sinovac telah memulakan rundingan untuk perjanjian pengilangan tempatan serta perjanjian perlesenan teknologi dan pengetahuan.
Jelasnya, perjanjian dijangka dilaksanakan dalam tempoh sebulan dari tarikh menandatangani Perjanjian Lembaran Terma Berjilid.
Tambahnya, perjumpaan sebelum penyerahan telah dijalankan bersama NPRA dan pihaknya akan menyerahkan dosir (dokumen) vaksin tersebut kepada NPRA secepat mungkin.
“Kelulusan NPRA diperlukan untuk proses pengilangan dan pengedaran vaksin tersebut di Malaysia.
“Tidak akan ada sebarang ujian klinikal dijalankan di Malaysia. Syarikat bergantung kepada data klinikal daripada China, Indonesia, Turki dan Brazil untuk pendaftaran vaksin di Malaysia,” katanya. – UTUSAN