WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump telah menandatangani perintah eksekutif yang melarang urus niaga dengan lapan aplikasi perisian China termasuk Alipay kepunyaan Ant Group.
Ia sekali gus meningkatkan ketegangan dengan Beijing hanya kira-kira dua minggu sebelum Joe Biden mengambil alih jawatan Presiden AS.
Langkah tersebut yang pertama kali dilaporkan Reuters bertujuan untuk mengekang ancaman terhadap rakyat AS yang ditimbulkan aplikasi perisian China yang memiliki pangkalan pengguna besar dan akses ke data sensitif, kata seorang pegawai kanan pentadbiran negara tersebut.
Di bawah perintah eksekutif itu, AS perlu mengambil tindakan agresif terhadap pembangun aplikasi perisian China untuk melindungi keselamatan negara.
Ia menugaskan Jabatan Perdagangan untuk menentukan transaksi mana yang akan dilarang berdasarkan arahan dalam tempoh 45 hari yang turut menyasarkan QQ Wallet dan WeChat Pay dari Tencent Holdings Ltd. di samping turut menamakan CamScanner, SHAREit, Tencent QQ, VMate dan WPS Office.
Walau bagaimanapun, jurucakap Tencent di AS dan Kedutaan Besar China di Washington tidak memberikan komen berhubung isu tersebut.
Perintah eksekutif itu turut menyebut aplikasi perisian China boleh mengakses dan mengambil sejumlah besar maklumat daripada pengguna termasuk info sensitif hanya daripada peranti elektronik seperti telefon pintar, tablet dan komputer.
Pengumpulan data seperti itu akan membolehkan China mengesan lokasi pekerja dan kontraktor Persekutuan dan membina dokumen maklumat peribadi, menurut perintah berkenaan.
Perintah itu bertujuan untuk memperkukuh legasi tekanan Trump terhadap China sebelum Biden mengangkat sumpah pada 20 Januari ini yang masih belum memberitahu perancangan secara mendalam untuk menangani ancaman teknologi tertentu dari China.
Biden bagaimanapun boleh membatalkan perintah itu pada hari pertamanya sebagai Presiden tetapi pasukan peralihannya tidak mahu memberi respon segera mengenai isu berkenaan.
Keputusan tersebut mungkin meningkatkan ketegangan antara Washington dan Beijing yang telah berselisih mengenai asal-usul Covid-19 dan tindakan keras China terhadap Hong Kong.
Menurut seorang pegawai AS kepada Reuters, walaupun tempoh selama 45 hari ditetapkan kerajaan namun Jabatan Perdagangan merancang untuk bertindak sebelum 20 Januari bagi mengenal pasti transaksi yang dilarang.
Arahan itu selari dengan perintah eksekutif Trump yang ditandatangani pada Ogos lalu mengarahkan Jabatan Perdagangan menyekat beberapa urus niaga AS dengan WeChat dan aplikasi video milik China, TikTok.
Sekiranya arahan tersebut dikuatkuasakan, ia secara efektif melarang penggunaan aplikasi China di AS sekali gus membuatkan kedai aplikasi Apple Inc. dan Alphabet Inc. tidak lagi menawarkannya untuk dimuat turun oleh pengguna baharu.– AGENSI