Tawaran RM1.30 sesaham FGV adalah wajar - Felda - Utusan Malaysia

Tawaran RM1.30 sesaham FGV adalah wajar – Felda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) berpendapat, harga tawaran saham FGV Holdings Berhad (FGV) RM1.30 sesaham adalah wajar kerana ia merupakan harga sama yang telah dirundingkan secara bebas dan profesional dengan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan Urusharta Jamaah yang melebihi harga pasaran.

Menurut Felda, harga tawaran itu juga melibatkan premium 15 peratus berbanding nilai aset bersih sesaham FGV sebanyak RM1.13.

Sehubungan itu katanya, tindakan pengarah bebas FGV yang tidak bersetuju dengan tawaran itu dan menasihatkan pemegang saham menolak tawaran Felda, adalah janggal.

Ini kerana katanya, penasihat bebas RHB Investment Bank yang dilantik FGV, telah memberikan pendapat mereka bahawa harga tawaran RM1.30 adalah tidak adil tetapi wajar dan menasihatkan pemegang saham menerima tawaran Felda.

“Inilah pertama kali pengarah bebas sesebuah syarikat yang bakal diambil alih bercanggah pendapat dengan penasihat bebas yang mereka sendiri lantik.

“Untuk rekod, dalam tempoh tiga tahun sebelum ini, terdapat 13 buah syarikat tersenarai yang terlibat dalam tawaran saham mandatori atau sukarela. Dalam kesemua 13 transaksi tersebut, tiada percanggahan pendapat dan pengarah bebas telah menerima pendapat yang telah dikeluarkan oleh penasihat bebas yang mereka lantik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Felda berpendapat, harga tawaran RM1.30 adil kerana:
i. Ia mewakili 10 peratus premium ke atas harga terakhir RM1.18 sebelum notis tawaran perolehan dikeluarkan.
ii. Ia mewakili 15 peratus premium ke atas harga purata RM1.13 yang telah diniagakan dalam jangka masa setahun sebelum notis tawaran dikeluarkan.
iii. Ia adalah 15 peratus lebih tinggi berbanding RM1.13 nilai aset bersih FGV pada 30 September 2020.
iv. Ia adalah 49 peratus lebih tinggi berbanding RM0.87 nilai aset ketara bersih (NTA) FGV pada 30 September 2020.

TAWARAN BERASAS
Tambah Felda, kewajaran harga tawaran RM1.30 juga adalah berasas kerana berdasarkan pendedahan dalam pekeliling nasihat bebas yang diterbitkan oleh RHB di mana seorang ahli lembaga pengarah FGV sendiri telah menjual 200,000 saham beliau pada harga RM1.15 pada 10 Jun 2020, dan 500,000 lagi pada harga RM1.24, 19 November 2020 iaitu lebih rendah berbanding harga tawaran RM1.30.

Setakat 28 Januari 2021, katanya, Felda telah berjaya menguasai 60 peratus saham FGV dan dengan sokongan pemegang saham lain termasuk penerima dan warga Felda, penguasaan ke atas FGV akan terus meningkat.

“Pengambilalihan FGV oleh Felda adalah satu langkah penting dalam Pelan Pemulihan Felda yang telah diluluskan oleh kerajaan demi manfaat warga Felda. Ia dibuat pada terma yang munasabah dan tidak melibatkan kepentingan peribadi mana-mana pihak,” tegasnya.

Felda menjelaskan, sesi penerangan juga telah dilaksanakan secara maya kepada Ahli Jawatankuasa Perunding Peneroka, Majlis Belia Felda Malaysia, Kami Anak Felda, pengurusan wilayah dan rancangan Felda, kakitangan serta pesara Felda untuk membolehkan mereka memahami kepentingan usaha yang dijalankan.

“Semuanya demi kepentingan 112,638 peneroka dan dua juta warga besar Felda. Sokongan kakitangan, peneroka dan seluruh Warga Felda pastinya menjadi antara faktor utama kejayaan usaha ini,” katanya.

Mengenai nilai pampasan yang perlu dibayar oleh Felda akibat penamatan perjanjian pajakan tanah (LLA) dan pengambi alihan penguasaan kilang sawit berkaitan, lembaga itu berkata, anggaran antara RM3.5 bilion hingga RM4.3 bilion yang dibuat oleh FGV jauh lebih tinggi daripada perkiraan yang dibuat mengikut formula pampasan dalam perjanjian LLA.

“Memandangkan jurang anggaran pampasan yang amat besar dan setelah mengambil kira nilai 63.4 peratus saham yang belum dimiliki oleh Felda dan KPF adalah sekitar RM2.5 bilion (berdasarkan harga sama FGV RM1.08 ketika itu), lebih rendah daripada anggaran pampasn oleh FGV, maka adalah lebih wajar Felda menguasai tanah LLA melalui penguasaan saham FGV pada kos lebih rendah atau optimum.

“Ini juga bermakna Felda menguasai kilang sawit berkaitan pada waktu yang sama,” katanya.

Felda pada pada 8 Disember 2020, telah mengumumkan pembelian 506.2 juta saham mewakili 13.88 peratus pegangan saham FGV daripada KWAP dan Urusharta Jamaah pada harga RM1.30 sesaham berjumlah RM658 juta.

Ia meningkatkan pegangan saham Felda dan sekutunya (termasuk KPF) dalam FGV kepada 50.5 peratus sekali gus mencetuskan tawaran mandatori terhadap baki saham yang belum dimiliki oleh Felda dan sekutunya. Pembelian saham daripada KWAP dan Urusharta Jamaah telah selesai pada 22 Disember 2020, mengakibatkan tawaran am mandatori tersebut menjadi tidak bersyarat.

Pengarah-pengarah FGV yang tidak berkepentingan sebelum ini mengesyorkan kepada para pemegang saham supaya menolak tawaran pengambilalihan mandatori tidak bersyarat oleh Felda antara lain menyifatkannya `tidak adil’ kerana berada di bawah nilai saksana.

FGV dalam satu kenyataan memaklumkan, pengarah-pengarah tidak berpentingan itu ialah Datuk Yusli Mohamed Yusoff, Datuk Mohd. Anwar Yahya, Datin Hoi Lai Ping, Dr. Moha­med Nazeeb P. Alithambi dan Dr. Nesadurai Kalanithi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya