Superb berjaya lahir usahawan global - Utusan Malaysia

Superb berjaya lahir usahawan global

MOHD. Redzuan Md. Yusof (tengah) menyampaikan trofi kepada pemenang Superb 2020, Dr. Anas Mat Asis dalam Majlis Apresiasi Pemenang Superb 2020 di Putrajaya, baru-baru ini. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Program khas Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (Superb) telah berjaya melahirkan ramai pe­ngusaha mengkomersialkan produk dan perkhidmatan ke seluruh dunia.

Kejayaan itu malahan terbukti apabila lebih 50 peratus daripada 183 pemenang hasil 14 edisi skim tersebut sebe­lumnya mampu memasarkan jualan sehingga di peringkat antarabangsa.

Perkara itu didedahkan Ketua Pegawai Eksekutif Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Md. Silmi Abd. Rahman ketika berucap pada Malam Apresiasi Pemenang Superb 2020 di sini baru-baru ini.

Program tahunan ini dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof yang menyampaikan trofi dan sijil kepada 25 pemenang skim itu dari seluruh negara.

Mereka antara 208 pemenang selepas 15 edisi Superb berlangsung sejak bermula 2014 lalu dengan peruntukan awal sebanyak RM100 juta berbentuk geran pembangunan perniagaan.

“Selain memacu pertumbuhan ekonomi negara, program ini berpotensi melakukan perubahan positif dengan galak ramai tenaga muda Bumiputera jadi usahawan berjaya,” kata Md. Silmi.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata, usahawan belia keluaran Superb itu setakat ini bukan sahaja berjaya di persada tempatan, bahkan ada dikesan menembusi pasaran luar negara.

Antaranya ujar beliau, arang bioaktif hasil idea pemenang Superb lalu yang dieksport ke Jordan, Turki dan Serbia dalam keadaan situasi Covid-19 telah menutup pasaran domestik.

Tidak ketinggalan jelasnya, platform Dropee yang berjaya catat nilai pembelian kasar hampir RM1 bilion dengan kira-kira 160,000 produk serta sudah pun beroperasi di tiga buah negara.

“Ia dicapai dalam tempoh tiga tahun selepas peserta ini memenangi Superb dan kini syarikat itu mampu menggaji 60 tenaga kerja mahir yang majoritinya ialah warga tempatan,” katanya.

Md. Silmi juga berkongsi cerita kejayaan diraih syarikat FF Mercu Niaga yang mengusahakan bisnes berteraskan pe­ngasingan dan jualan pakaian terpakai berpusat di Kamunting, Perak.

Usahawan itu memasarkan produknya ke Kemboja, Thailand, Indonesia, Pakistan dan China selain ada 11 cawangan di Perak, Kedah dan Pulau Pinang dengan menjana jualan lebih RM1 juta sebulan.

Tidak kurang juga katanya, ada berjaya mendapatkan pelaburan swasta untuk meningkatkan kapasiti serta mengembangkan lagi modal perniagaan yang berinovasi dan berpotensi tinggi.

Superb 2020 menerima 1,149 penyertaan dengan hanya 60 mara ke peringkat akhir yang diadakan dua hari bermula 11 Disember lalu dan julung kali dilaksanakan atas talian sepenuhnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya