SIRIM, KPower jalin kerjasama pintar - Utusan Malaysia

SIRIM, KPower jalin kerjasama pintar

MAJLIS pertukaran dokumen kerjasama pintar antara anak syarikat SIRIM Berhad, SIRIM Tech Venture dengan KPower Berhad di Shah Alam, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: SIRIM Tech Venture Sdn. Bhd. menyelesaikan perjanjian penjualan saham bagi anak syarikatnya, Granulab Sdn. Bhd. dengan KPower Berhad, sebagai sebahagian daripada kerjasama pintar untuk meningkatkan aktiviti pengkomersialan dalam bidang peranti perubatan.

GranuLab, syarikat pembuatan peranti perubatan berstatus Bio-Nexus yang menghasilkan produk tulang tiruan, GranuMas.

Melalui perjanjian penjualan saham itu, KPower memiliki 70 peratus saham GranuLab, manakala selebihnya dimiliki oleh SIRIM Tech Venture, anak syarikat SIRIM Berhad.

Majlis menandatangani perjanjian penjualan saham tersebut telah diadakan di ibu pejabat SIRIM kelmarin dan disaksikan secara maya oleh Pengerusinya, Tan Sri Dr. Ahmad Tajuddin Ali.

Pada majlis itu, SIRIM Tech Venture diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Ajmain Kassim dan Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Ir. Dr. Ahmad Fadzil Mohamad Hani; manakala KPower diwakili Pengarah Urusan Kumpulan, Mustakim Mat Nun dan Pengerusinya, Datuk Dr. Ir. Ts. Mohd. Abdul Karim Abdullah.

Tajuddin berkata, pemasaran pada masa hadapan dengan KPower adalah kaedah terbaik untuk meningkatkan daya saing di samping mengembangkan perniagaan dalam keadaan ekonomi semasa yang mencabar disebabkan Covid-19.

“Oleh kerana sumber pemasaran yang tidak cukup besar di GranuLab, perkongsian pemasaran adalah kaedah kreatif untuk melakukan lebih lagi dengan memanfaatkan kekuatan teras yang ada pada kedua-dua pihak.

“Dengan KPower, keperluan pengguna yang sentiasa berubah untuk peranti perubatan pada masa hadapan akan dipenuhi melalui teknologi inovatif, dengan menggunakan teknologi Industri 4.0 dalam keseluruhan rantaian nilai produk. Revolusi digital meningkatkan kesalinghubungan di seluruh dunia dan ini mewujudkan peluang perniagaan baharu yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Fadzil berkata, dengan kerjasama strategik itu, GranuLab yang dilengkapi dengan pekerja berpengetahuan terlatih akan dapat membangunkan lebih banyak produk dan mencapai skala ekonomi yang tertentu dalam menggabungkan usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan saham pasaran tambahan.

“Kami berharap, kerjasama ini akan memberi faedah kepada orang ramai, selain membolehkan produk peranti perubatan lebih mudah diperoleh pada harga yang mampu dibayar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya