RM3.4 bilion potensi pelaburan - Utusan Malaysia

RM3.4 bilion potensi pelaburan

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko Antarabangsa (Igem) 2020 berjaya menjana potensi pelaburan perniagaan bernilai RM3.4 bilion.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, persidangan dan pameran itu turut berjaya menarik penyertaan syarikat dari 79 negara selain mencatat lebih 515,000 kunjungan.

Menurut beliau, penganjuran Igem 2020 yang pertama kali dilaksanakan secara dalam talian telah membuka ruang yang le­bih luas kepada pihak luar, terutamanya pakar-pakar teknologi hijau sekali gus menyumbang kepada peningkatan penyertaan pada tahun tersebut.

“Para peserta telah berjaya meneroka pelbagai peluang dan kerjasama baharu melalui sistem padanan perniagaan,” katanya dalam sidang akhbar maya pengumuman pencapaian Igem 2020 semalam.

Igem 2020 yang dianjurkan Kementerian Alam Sekitar dan Air serta Pusat Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) bersama rakan strategik, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) itu diadakan secara maya bermula 19 hingga 23 Oktober lalu.

Acara perdagangan terbesar Asia Tenggara untuk teknologi hijau dan penyelesaian eko itu merupakan platform penyedia penyelesaian dan perniagaan tenaga hijau mempamerkan inovasi dan segmen berkenaan kepada pembuat polisi, organisasi kerajaan dan pelabur.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim turut membangkitkan seruan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucapan perasmian Igem 2020 tahun lalu supaya agenda pembangunan negara dinilai semula agar lebih lestari berdasarkan pembangunan hijau dan teknologi hijau.

“Pendekatan teknologi hijau bukan sahaja dapat memacu ekonomi dan kesejahteraan sosial tetapi juga mendorong negara ke arah pembangunan rendah karbon yang lebih ampuh dalam menghadapi kesan perubahan iklim yang berlaku,” katanya.

Menurut beliau, Jemaah Menteri juga telah bersetuju secara prinsip supaya kementeriannya menyusun kerangka undang-undang perubahan iklim negara yang lebih holistik merangkumi palbagai peringkat termasuk kerajaan negeri, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Komitmen kerajaan dalam penerapan amalan kelestarian alam telah ditunjukkan dalam Belanjawan 2021.

“Kerajaan telah bersetuju untuk memperluas Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) dengan memperuntukkan tambahan sebanyak RM2 bilion,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya