PETALING JAYA: Sebanyak 13 syarikat milik kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC) bergabung tenaga menjayakan inisiatif Cerdik yang bermatlamat membekalkan akses digital kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.
Kesemua syarikat itu akan menyumbangkan dana berjumlah RM150 juta untuk inisiatif tersebut yang antara lain akan membekalkan komputer riba, tablet dan rangkaian data internet kepada pelajar-pelajar yang terpilih.
Yayasan Hasanah bertindak sebagai sekretariat inisiatif tersebut dengan GLC dan GLIC yang terlibat merangkumi syarikat-syarikat di bawah Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas).
Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Shahira Ahmed Bazari berkata, pihaknya sangat komited untuk menyokong model pembelajaran boleh skala dan inovatif yang menggalakkan kesaksamaan serta menyeimbangkan persaingan untuk akses kepada pendidikan kualiti.
“Yayasan Hasanah bekerja rapat dengan Kementerian Pendidikan dalam mereka bentuk inisiatif Cerdik bagi memastikan pelaksanaan yang mampan.
“Cerdik akan mengedarkan tranche pertama peranti bermula Februari ini. Kami bekerja keras bersama semua opihak bagi mempercepat pengedaran.
“Kami dengan rendah diri akan menerajui inisiatif ini bersama Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan dan rakan kongsi GLC serta GLIC untuk membawa perubahan dalam waktu yang mencabar ini,” katanya dalam kenyataan dekat sini semalam.
Untuk inisiatif tersebut, Kementerian Pendidikan akan menggalas tanggungjawab dalam urusan pemilihan pelajar dan sekolah yang layak.
Kementerian Pendidikan juga menentukan spesifikasi perkakas dan perisian bagi memastikan pelaksanaan yang mampan termasuk dari segi sokongan jaminan, kebolehgunaan serta tempoh lupus yang lebih lama untuk pembelajaran digital masa hadapan.
Ketua Setiausahanya, Datuk Yusran Shah Mohd. Yusof berkata, kementeriannya berhasrat merapatkan jurang pembelajaran antara mereka yang mampu memiliki peranti digital dengan yang tidak mampu.
“Tambahan lagi, kami berharap inisiatif ini akan merintis model pembelajan digital untuk kegunaan masa hadapan,” katanya. – UTUSAN