KUALA LUMPUR: Anak syarikat RHB Asset Management Bhd., RHB Islamic International Asset Management Bhd. (RHBIIAM) melancarkan dana pelaburan mampan dan bertanggungjawab (SRI) pertamanya yang disahkan Suruhanjaya Sekuriti (SC) iaitu Dana Gangguan Mampan i-Global RHB.
Pelancaran dana ekuiti patuh syariah tersebut bertujuan memberi penghargaan modal kepada pelabur dalam jangka sederhana hingga jangka panjang.
Sebagai dana SRI, pelaburan dana tersebut tertakluk kepada metodologi serta kriteria alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif RHBIIAM, Farid Kamarudin, komposisi portfolio bagi dana tersebut merangkumi syarikat boleh dipercayai yang mencari peluang dalam pasaran besar, membolehkan teknologi baharu dan berpotensi untuk adaptasi pantas serta skalabiliti.
Farid berkata, pelabur semakin mencari peluang pelaburan di syarikat yang mempunyai nilai sosial dan persekitaran kukuh.
Katanya, faktor ESG akan semakin menentukan keupayaan syarikat untuk beroperasi dengan berkesan dan menjana pendapatan berterusan.
“Oleh itu, penyatuan faktor-faktor ESG sangat penting dan harus menjadi komponen utama dalam proses pelaburan kerana ia dapat mengenal pasti syarikat yang mempunyai asas kukuh.
“Proses pelaburan bersepadu ini akan mengenal pasti syarikat-syarikat ‘pemenang struktur’ dalam mega trend pelaburan utama terutamanya apabila prospek makro global masih tidak menentu,” katanya dalam kenyataan. – UTUSAN