KUALA LUMPUR: Public Bank Berhad melancarkan dua kempen istimewa sempena kehadiran Tahun Baharu Cina tidak lama lagi dalam usaha membawa keceriaan kepada pelanggan pada waktu mencabar akibat pandemik Covid-19.
Public Bank dalam kenyataan memberitahu, Kempen PB Golden Fortune 2021 telah bermula pada 1 Januari lalu hingga 31 Mac depan manakala Kempen e-Ang Pau DuitNow pula bermula 11 Februari hingga 26 Februari ini.
Mengenai Kempen PB Golden Fortune, Public Bank menawarkan dua hadiah kemakmuran edisi terhad mewah iaitu ‘lembu jantan mengagumkan bersadur emas 24 karat’ dan ‘pusingan emas kekayaan bersalut emas 24 karat’ terbuka kepada pelanggan individu Public Bank baharu atau sedia ada.
Menurut Public Bank, dua pelan disediakan untuk pilihan pelanggan iaitu Pelan PB Golden dan Pelan PB Fortune dengan pelanggan boleh mengambil bahagian menerusi pembelian Dana Unit Amanah atau produk insurans yang digandingkan dengan deposit dalam akaun semasa atau simpanan terpilih.
“Pelan PB Golden menawarkan satu hadiah ‘pusingan emas kekayaan bersalut emas 24 karat’ manakala ‘lembu jantan mengagumkan bersadur emas 24 karat’ pula menunggu bagi pemenang Pelan PB Fortune.
“Kempen PB Golden Fortune 2021 direka untuk pelanggan yang mencari portfolio pelaburan pelbagai dalam persekitaran kadar faedah rendah pada masa ini untuk mencapai matlamat kewangan mereka,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas Kempen e-Ang Pau DuitNow, Public Bank berkata, pelanggan boleh menghantar e-Ang Pau menggunakan DuitNow kepada keluarga dan rakan menggunakan aplikasi mudah alih Public Bank daripada serendah RM10.
Katanya, pelanggan yang telah berjaya melakukan urus niaga DuitNow boleh menggoyangkan Prosperity Tree untuk berpeluang memenangi ang pow mengandungi hadiah pulangan tunai. – UTUSAN