PETALING JAYA: Prudential Assurance Malaysia Berhad (PAMB) dan Shopee bekerjasama melancarkan pelan pelindungan penyakit berjangkit seperti demam denggi, malaria, campak dan demam kepialu.
Melalui carian Prudential Infectious Disease Cover Plan di aplikasi Shopee, jika pemegang polisi menghidap mana-mana daripada empat penyakit tersebut akan menerima bantuan tunai sekali gus sebanyak RM1,000.
Ketua Pegawai Pelanggan dan Pemasaran PAMB, Eric Wong berkata, bantuan tunai sebanyak RM10,000 juga akan dibayar jika pemegang polisi meninggal dunia akibat penyakit itu.
“Dengan bayaran premium sebanyak RM12.50, pelindungan ini sah untuk tempoh setahun dari masa permohonan.
“Walaupun Covid-19 masih menjadi kebimbangan terbesar, namun penyakit berjangkit yang lain tidak boleh dipandang ringan,” katanya dalam satu kenyataan.
Eric menjelaskan, dengan kerjasama Shopee, pihaknya dapat menyediakan penjagaan kesihatan yang mampu dinikmati dan boleh diakses oleh seluruh rakyat Malaysia.
Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho pula berkata, Shopee berkongsi nilai dan kepercayaan yang sama dengan Prudential.
“Sebagai platform e-dagang, kami amat percaya dengan kuasa teknologi untuk menjangkau rakyat di seluruh negara.
“Dengan kempen ini, 2,800 pengguna pertama yang berjaya mendaftar untuk Pelan Pelindungan Penyakit Berjangkit ini akan layak menerima baucar Shopee bernilai RM10,” jelasnya.
Pelan pelindungan tersebut hanya boleh didapati sehingga 18 Februari ini di Shopee sempena Jualan Tahun Baru Cina 2.2. – UTUSAN