Petronas kekal jenama ASEAN paling bernilai 2021 - Utusan Malaysia

Petronas kekal jenama ASEAN paling bernilai 2021

Penyusutan harga bahan api untuk kenderaan persendirian turut menyumbang kepada kadar inflasi negara. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) telah mengekalkan kedudukan sebagai jenama ASEAN paling bernilai dalam laporan Jenama Kewangan Global 500 tahun ini.

Pada masa sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz (gambar) telah dinobatkan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif terbaik ASEAN dan tempat ke-38 dalam 100 Brand Guardians terbaik global 2021.

Petronas juga kekal di tangga kesembilan antara senarai perunding penilaian jenama minyak dan gas (O&G) global.

Menurut Petronas dalam kenyataan, indeks kekuatan jenama (BSI) syarikat tersebut yang dinilai berdasarkan prestasi jenama berbanding pesaingnya meningkat kepada 87 daripada 86.3 pada 2020.

Katanya, kewangan jenama turut menyumbang kepada kedudukan Petronas dengan prestasi konsisten jenama pada nilai AS$12.04 bilion (RM48.69 bilion) walaupun menurun berbanding AS$15.2 bilion (RM61.47 bilion) tahun lalu.

“Brand Finance mempertimbangkan tiga komponen utama dalam mengira nilai jenama iaitu kekuatan, perniagaan dan potensi ekonomi jenama dengan semua 20 jenama O&G telah menyaksikan penurunan dalam nilai jenama didorong oleh perniagaan dan faktor luaran,” katanya dalam kenyataan.

Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz

Dalam pada itu, Tengku Muhammad Taufik memberi penghargaan kepada semua kakitangan Petronas atas sumbangan luar biasa sekali gus berjaya memperoleh pengiktirafan berkenaan.

Beliau berkata, semua kakitangan berusaha keras untuk memperkukuh jenama walaupun dalam keadaan pasaran mencabar ketika ini dengan memberi tumpuan kepada penyampaian progresif dan penyelesaian tenaga lestari yang memberi manfaat kepada pelanggan seluruh dunia.

Menurut Tengku Muhammad Taufik, kemajuan teknologi yang dicapai sehingga kini menjadi bukti kelebihan Kumpulan dan menjadi penentu utama perniagaan bergerak lebih jauh melangkaui O&G.

“Petronas akan berusaha meneroka jalan pertumbuhan baharu untuk menghadapi cabaran peralihan tenaga global dengan membuka lebih banyak peluang dalam mencipta nilai lebih tinggi bagi semua pihak berkepentingan kami,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN