KUALA LUMPUR: Tahun 2020 merupakan tempoh yang sukar bagi kebanyakan rakyat Malaysia. Tahun menyaksikan ramai orang hilang pekerjaan disebabkan kemelut ekonomi akibat wabak Covid-19 yang
melanda dunia.
Di peringkat domestik, penularan wabak memaksa kerajaan melaksanakan siri perintah kawalan pergerakan. (PKP) dan PKB Bersyarat (PKPB) bagi meminimumkan impak kepada rakyat dan negara.
Kesannya, hampir semua sektor ekonomi terjejas teruk. Pertumbuhan ekonomi terjejas, rakyat hilang pendapatan dan kehidupan mereka menjadi sukar.
Ini berdasarkan dapatan tinjauan yang dilakukan oleh Utusan Malaysia dengan kerjasama CTOS Data Systems Sdn. Bhd. baru-baru ini, di mana rata-rata responden menyatakan kewangan mereka terjejas sepanjang pelaksaan PKP dan PKPB.
Keadaan ini telah menyebabkan cabaran dalam menguruskan kewangan peribadi, termasuk masalah menguruskan hutang.
“Masalah kewangan yang dihadapi oleh rakyat Malaysia sepanjang tempoh PKP dan PKPB menunjukkan celik kewangan dalam kalangan mereka perlu ditingkatkan. Ia merupakan salah satu penyelesaian untuk membantu mereka dalam mengurus kewangan peribadi.
“Walaupun masalah gaji dan tekanan inflasi turut menjadi menyumbang, namun, pengetahuan kewangan yang baik akan membantu mereka mengawal kewangan dan memiliki keselamatan kewangan. Ini termasuk dalam mengurus hutang,” jelas Multiply, sebuah platform pendidikan kewangan bukan berorientasikan keuntungan, yang mahu meningkatkan celik kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Melangkah ke tahun baharu 2021, pastinya orang ramai terus berdepan cabaran getir, di sebalik jangkaan ekonomi negara dan global kembali pulih hasil penemuan vaksin Covid-19.
Belajar daripada kemelut ekonomi lampau, mempunyai perancangan atau pengurusan kewangan yang baik amat penting bagi setiap orang untuk mengelak terjerumus sekali lagi dalam masalah kewangan di luar jangka.
Menurut Multiply terdapat tiga sebab kenapa seseorang itu perlu mempunyai perancangan kewangan yang baik.
Tiga sebab itu ialah:
* Membolehkan anda tahu berapa wang yang anda ada, ke mana ia dibelanjakan dan kaedah terbaik untuk pelaburan.
* Mengelakkan anda terjerumus dengan lebih banyak hutang.
* Peluang untuk menyimpan wang.
Bagi membantu orang ramai, Multiply turut menggariskan 8 panduan mengurus dan merancang kewangan dengan bijak:
1. Hanya pinjam apa yang anda mampu bayar. Anda perlu cuba pastikan bayaran bulanan untuk semua hutang anda kurang daripada 30% pendapatan bulanan anda.
2. Setiap bulan, pastikan anda bayar dahulu hutang sebelum berbelanja untuk keperluan lain. Utamakan membayar hutang kad kredit dahulu kerana kadar faedah kad kredit amat tinggi. Cuba bayar penuh baki kad kredit anda setiap bulan. Jika tidak dapat, cuba bayar melebihi bayaran minimum untuk mengelak hutang kredit anda di luar kawalan.
Selepas itu, selesaikan apa-apa hutang tertunggak daripada pinjaman lain. Ini akan membantu anda mengekalkan skor kredit yang baik, dan ini akan mengurangkan kos faedah anda.
Langsaikan semua pinjaman ini beransur-ansur supaya anda akan ada duit lebih untuk disimpan setiap bulan.
3. Ketahui Kadar Pinjaman Efektif (EIR) atau Kadar Keuntungan Efektif (untuk pinjaman patuh Syariah). Ini membolehkan anda membuat perbandingan dan mendapat kadar pinjaman terendah. Anda boleh dapatkan EIR dari bank anda atau dari Product Disclosure Sheet (PDS)
4. Pinjam hanya untuk keperluan atau kecemasan sahaja, kerana meminjam wang boleh menjerumuskan anda ke dalam satu pusingan hutang yang tak berkesudahan. Kalau ada sesuatu yang anda betul-betul ingin beli, menabunglah sikit demi sikit. Ini lebih baik daripada mengambil pinjaman.
5. Elakkan daripada mengambil pinjaman untuk menyelesaikan hutang lain. Walaupun ini mungkin membolehkan anda buat hanya satu pembayaran, pastikan kadar faedah pinjaman ini lebih rendah dari pinjaman yang terdahulu. Jika anda juga dalam situasi ini, dapatkan kaunseling kewangan terlebih dahulu di AKPK untuk pastikan ini cara yang terbaik untuk menguruskan hutang anda.
6. Jika hendak mendapatkan pinjaman, pastikan anda dapatkan PDS. Ia membantu anda tahu kadar dan fi pinjaman dikenakan oleh pihak bank/pembiaya.
7. Jangan berhutang untuk pelaburan. Ia sangat berisiko dan pulangan tidak terjamin. Anda mungkin alami kerugian berbanding untung.
8. Amalkan tabiat yang baik dengan menyemak laporan kredit dan skor kredit anda secara berkala. Laporan Kredit CTOS merangkumi skor kredit, rekod litigasi atau kebankrapan dan laporan CCRIS yang mengandungi rekod pembayaran, jenis-jenis kredit yang anda miliki dan jumlah hutang, tempoh rekod kredit serta rekod permohonan kredit baharu di bawah nama anda. Apabila anda menyemak laporan kredit anda dengan kerap, anda akan ketahui kedudukan dan maklumat terkini kredit anda. Dengan itu, anda boleh mengurus dan merancang kewangan anda dengan lebih baik.
Untuk maklumat lanjut mengenai pengurusan hutang dan kewangan, orang ramai boleh layari multiply.org.my.
Laman sesawang Multiply yang komprehensif memaparkan isi kandungan tentang topik-topik seperti pengurusan hutang, permohonan pinjaman, pemilihan insurans yang sesuai, pelaburan serta perancangan persaraan.
Isi kandungan ini disediakan khusus untuk membantu warga Malaysia mengemudi pengurusan kewangan peribadi mereka sepanjang hayat. Platform Multiply turut memaparkan kalkulator serta kemudahan lain untuk membantu pengguna membuat keputusan kewangan dan mencapai kebebasan kewangan. – UTUSAN