SHANGHAI/NEW YORK: Pasaran saham Asia dan Amerika Syarikat (AS) melonjak selepas Joe Biden mengangkat sumpah sebagai Presiden AS.
Di Asia, saham-saham berkaitan mencatatkan rekod tertinggi semalam apabila pelabur mula meletakkan harapan untuk lebih banyak pakej rangsangan ekonomi daripada pentadbiran baharu AS sekali gus menyeimbangkan kejatuhan akibat pandemik Covid-19.
Ia berikutan kenyataan parti Republikan dalam Kongres bahawa mereka sanggup bekerjasama dengan Presiden baharu untuk pelan rangsangan fiskal bernilai AS$1.9 trilion (RM7.66 trilion).
Pakar strategi makro global di Saxo Capital Markets, Kay Van-Petersen berkata, penguasaan parti Demokratik dalam Senat meningkatkan bukan sahaja kemungkinan untuk lebih rangsangan fiskal, malah magnitudnya.
“Maknanya, pasaran ini sepatutnya jauh lebih tinggi secara keseluruhannya dan kita akan tiba di situ nanti. Kita sedang memasuki rejim dengan inflasi kelas aset yang lebih cepat meningkat,” katanya.
Indeks penanda aras Asia Pasifik MSCI di luar Jepun mencatat rekod tertinggi dengan kali terakhir meningkat 0.85 peratus dengan pasaran di seluruh rantau itu meningkat.
Saham mewah China menokok 1.2 peratus, bursa saham Australia naik 0.69 peratus dan indeks Hang Seng Hong Kong melepasi tahap 30,000 mata, naik 0.31 peratus.
Indeks Nikkei Jepun meningkat 0.72 peratus, tidak sampai satu peratus daripada rekod tertinggi dalam 30 tahun yang dicatat minggu lalu.
Peningkatan saham di Asia menuruti catatan tertinggi Wall Street pada malam sebelumnya.
Purata indeks industri Dow Jones meningkat 0.83 peratus, S&P 500 meningkat 1.39 peratus dan Komposit Nasdaq melonjak 1.97 peratus.
“Pasaran masih mengambil pandangan optimis terhadap risiko cukai atau undang-undang yang lebih ketat disebabkan majoriti tipis di Senat, sementara masih menjangkakan rangsangan fiskal tambahan,” kata ahli ekonomi Bank Nasional Australia, Tapas Strickland.
Saham teknologi juga melonjak selepas Netflix Inc. berkata ia tidak lagi perlu meminjam berbilion dolar untuk membiayai rancangan televisyen dan filemnya, meningkatkan sahamnya sehingga hampir 17 peratus. – AGENSI