OPR: Tidak perlu diturunkan lagi - Utusan Malaysia

OPR: Tidak perlu diturunkan lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemotongan sehingga 125 mata asas terkumpul bagi kadar dasar semalaman (OPR) sepanjang tahun lalu disifatkan akan terus membantu memberi sokongan kepada kedudukan ekonomi negara.

Sehubungan itu, MIDF Research dalam nota penyelidikan memberitahu, pendekatan lebih bersasar akan diperlukan bagi membantu individu yang terkesan akibat pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut MIDF Research, pakej rangsangan fiskal Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) yang diumumkan baru-baru ini juga akan memberi kesan segera kepada ekonomi.

Hal demikian kerana kata MIDF Research, perubahan dasar monetari kebiasaannya mengambil masa beberapa bulan untuk memberi kesan kepada ekonomi.

“Menuju ke hadapan, kami men­jangkakan pemberian vaksin akan melonjakkan sentimen dan menyokong pemulihan ekonomi kepada pertumbuhan positif tahun ini.

“Dengan pertumbuhan tinggi pada akhir tahun ini dan peningkatan inflasi, kami turut menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mula meningkatkan OPR ke tahap lebih normal seawal suku keempat tahun ini,” katanya dalam nota penyelidikan tersebut.

BNM menerusi Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang bermesyuarat Rabu lalu, mengekalkan OPR pada paras 1.75 peratus susulan pemulihan berterusan ekonomi global dipacu peningkatan aktiviti eksport dan pembuatan.

Walaupun OPR telah dikekalkan buat kali ketiga berturut-turut, namun BNM memberitahu peningkatan semula kes jangkitan Covid-19 dan langkah-langkah pencegahan telah mempengaruhi aktiviti ekonomi di beberapa ekonomi utama.

BNM memberitahu, risiko terhadap prospek pertumbuhan menjadi rendah masih wujud terutama daripada ketidakpastian berterusan mengenai pandemik dan cabaran dihadapi yang boleh menjejaskan pemberian vaksin di dalam dan luar negara.

Bank pusat berkata, MPC turut menyifatkan dasar monetari adalah wajar dan akomodatif dengan pendirian dasar pada masa hadapan akan ditentukan oleh data serta maklumat baharu berikutan keadaan pandemik yang terus tidak menentu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya