PETALING JAYA: MMC Corporation Berhad (MMC) telah menandatangani perjanjian pembelian saham dengan Dana Pelaburan Awam (PIF) iaitu dana kekayaan berdaulat Arab Saudi, dan COSCO Shipping Port Limited (CSPL) kelmarin, bagi penjualan lapan peratus kepentingannya di dalam Sea Gateway Terminal Compony Limited (RSGT) dengan nilai SAR211.1 juta (RM227.6 juta).
Ketika ini MMC memiliki kepentingan sebanyak 20 peratus di dalam RSGT melalui anak syarikatnya, City Island Holdings Limited (CIHL) yang turut memiliki 20 peratus kepentingan di dalam Red Sea Ports Development Company (RSPD).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MMC memberitahu, pemegang saham lain Saudi Industrial Services Company, Xenel Industries Limited dan Saudi Trade and Export Development Company Limited, secara bersama memegang 80 peratus lagi kepentingan di dalam RSGT, turut menandatangani perjanjian sama dengan PIF dan CSPL, untuk melupuskan 32 peratus kepentingannya di dalam RSGT.
Jelasnya, dengan pelupusan tersebut, PIF dan CSPL secara bersama akan memegang 40 peratus kepentingan (masing-masing sebanyak 20 peratus) di dalam RSGT, sementara MMC melalui CIHL, kekal dengan 20 peratus di dalam RSPD.
“Penyelesaian cadangan transaksi itu bergantung kepada kelulusan daripada Pihak Berkuasa Pelabuhan Arab Saudi (Mawani) dan pihak berkuasa lain,” katanya.
Menurut MMC, transaksi berkenaan dijangka dimuktamatkan pada separuh pertama 2021, mengambil kira faktor-faktor diluar jangka.
RSGT mula beroperasi pada 2009, diasaskan oleh syarikat pelaburan terkemuka Arab Saudi, Saudi Industrial Services Company, Xenel Industries Limited, Saudi Trade Export Development Company dan CIHL.
Sebagai pengendali terminal, RSGT tahun lalu telah menandatangani perjanjian konsesi baharu untuk tempoh 30 tahun dengan Mawani membabitkan pelaburan AS$1.7 bilion (RM6.87 bilion) dalam bidang automasi, infrastruktur dan perkakasan.
Pelaburan itu dijangka meningkatkan kapasiti pengendalian kontena kira-kira sembilan juta TEU (unit bersamaan 20 kaki) dalam tempoh konsesi.
PIF pula merupakan satu daripada dana kekayaan berdaulat paling berpengaruh di dunia, yang telah memacu perubahan ekonomi Arab Saudi untuk manfaat rakyatnya, selain turut membentuk ekonomi global pada masa hadapan. – UTUSAN