PETALING JAYA: Malaysia kekal destinasi pelaburan kompetitif walaupun berhadapan ketidaktentuan global dengan AS$26.4 bilion (RM106.76 bilion) pelaburan diluluskan dalam tempoh sembilan bulan pertama 2020.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud malah mengatakan, pelaburan dalam sektor pembuatan yang diluluskan untuk tempoh Januari hingga September 2020 menyaksikan peningkatan mendadak.
Katanya, pelaburan modal sektor pembuatan telah melonjak sebanyak 16.6 peratus berbanding tempoh sama 2019 yang hanya meningkat 3.2 peratus.
Beliau berkata, kerajaan sedang melaksanakan inisiatif tambahan untuk meningkatkan pelaburan asing termasuk pelonggaran operasi perniagaan melalui digitalisasi beberapa perkhidmatan kerajaan, memberikan insentif cukai untuk sektor farmasi dan perkhidmatan serta pelaksanaan pusat sehenti bagi memudahkan kemasukan pelancong perniagaan ke dalam negara.
“Struktur ekonomi negara dan pengurusan makroekonomi yang kukuh terus menyokong asas ekonomi ketika kita menuju ke arah normal baharu.
“Memandangkan kira bergerak ke arah kepelbagaian strategik terutama dalam produk bernilai tinggi dan perkhidmatan mewah, negara menawarkan peluang besar untuk pelaburan Itali dalam mesin dan peralatan berkualiti tinggi, aeroangkasa, teknologi hijau, teknologi automotif dan reka bentuk industri.
“MIDA optimis pelaburan yang lebih berkualiti akan datang ke Malaysia pada tahun-tahun akan datang,” katanya dalam kenyataan semalam.
Kenyataan tersebut dikeluarkan sempena siri Invest ASEAN mengenai Kepakaran Industri Itali di Malaysia anjuran Institut Penyelidikan CIMB ASEAN (CARI) dan Kelab Perniagaan ASEAN secara maya.
Pada masa sama, Azman turut menggesa sektor swasta negara memanfaatkan kepakaran teknologi Itali untuk membantu mempermudah ekonomi digital Malaysia.
“Ini kerana, ekonomi digital negara diunjurkan tumbuh 21 peratus antara 2020 hingga 2025 dan mencapai anggaran nilai dagangan kasar (GMV) berjumlah AS$30 bilion (RM121.32 bilion) menjelang 2025,” katanya. – UTUSAN