SEOUL: Kadar pengangguran Korea Selatan bagi tahun 2020 berada pada tahap empat peratus iaitu tertinggi sejak 2001 ekoran langkah ketat membendung pandemik Covid-19.
Menurut data daripada Statistics Korea, turut menunjukkan kadar pengangguran bagi Disember melonjak ke tahap tertinggi dalam tempoh 11 tahun manakala jumlah pekerja juga menurun pada kadar pantas.
Kadar pengangguran yang disesuaikan mengikut musim melonjak kepada 4.6 peratus pada bulan terakhir 2020 berbanding 4.1 peratus dalam bulan November, sekali gus menjadikan ia terburuk sejak Januari 2010.
Data tersebut juga menunjukkan jumlah pekerja pada Disember menurun 628,000 orang kepada 26.5 juta berbanding tahun sebelumnya iaitu kemerosotan terburuk sejak Februari 1999.
Menurut Pegawai Statistics Korea kepada Reuters, kesan terhadap sektor peruncitan, penginapan dan perniagaan restoran adalah tekanan terbesar yang menyumbang kepada kemerosotan angka bulan Disember.
Jumlah pekerjaan baharu di sektor peruncitan, kemudahan penginapan dan restoran paling teruk dilanda ‘badai’ bulan lalu apabila menurun sebanyak 511,000 berbanding tahun sebelumnya.
Sektor pengeluaran juga menerima kesan besar dengan jumlah pekerjaan baharu jatuh sebanyak 110,000 tahun ke tahun.
Korea Selatan mengetatkan langkah penjarakan fizikal di kawasan metropolitan Seoul dengan menguatkuasakan larangan berhimpun melebihi 50 orang dan menutup kebanyakan perniagaan termasuk restoran pada pukul 9 malam, bermula 8 Disember lalu.
Kes harian Covid-19 melonjak ke tahap tertinggi pada penghujung Disember menyebabkan lebih banyak sekatan baharu tetapi ia mula perlahan beberapa hari kebelakangan ini disebabkan sistem ujian agresif yang dilakukan negara berkenaan.
Presiden Korea Selatan minggu lalu berjanji memperluas sokongan bagi golongan rentan terhadap pekerjaan termasuk pekerja sementara, pekerja harian dan golongan belia.
Ekonomi keempat terbesar Asia itu dijangka menyusut tahun lalu iaitu penguncupan pertama dalam 22 tahun walaupun kerajaan telah melancarkan pakej rangsangan kira-kira 310 trilion won (RM1.15 trilion).
Bank of Korea akan mengeluarkan data awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara tersebut bagi tahun 2020 pada penghujung bulan ini. – AGENSI