KUALA LUMPUR: Pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Rabu lalu hingga 26 Januari ini dijangka hanya memberi ‘kerosakan’ kecil terhadap pertumbuhan industri automotif negara.
Penganalisis Maybank Investment Bank Berhad (Maybank IB), Liaw Thong Jung meramalkan situasi pada pelaksanaan PKP kali ini terhadap industri permotoran kekal lancar berbanding semasa PKP tahun lalu.
Beliau berkata, bilik pameran, pusat servis dan bengkel kenderaan boleh beroperasi di bawah prosedur operasi standard (SOP) ketat sepanjang tempoh PKP.
“Bagaimanapun, kilang pembuatan dan pemasangan serta aktiviti akan tetap ditutup bagi pemain industri di negeri Selangor, Pulau Pinang, Melaka, Johor dan Sabah.
“Semasa PKP pertama, kesemua aktiviti itu ditutup dan kesannya, pengeluaran keseluruhan jatuh kepada 22,657 unit pada bulan Mac, 275 (April) dan 12,286 pada bulan Mei,” katanya dalam nota kajian baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Thong Jung berkata, penutupan sementara operasi kilang terutama di Selangor dan Melaka tentunya akan memberi kesan kepada pengeluaran beberapa pengeluar utama seperti Perodua, Honda, Toyota, Nissan dan Volvo yang menyumbang dua pertiga daripada jumlah pengeluaran industri (TIP).
Walaupun perkara itu akan memberi kesan kepada pengeluaran namun Thong Jung tidak menolak kemungkinan penarikan semula peraturan tersebut dalam masa terdekat.
Bagi penjualan kenderaan pula, Thong Jung berkata, syarikat kenderaan masih boleh mendaftar jualan baharu kerana Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pusat Puspakom masih dibuka sewaktu tempoh PKP. – UTUSAN