KUALA LUMPUR: Indeks harga pengeluar bagi pengeluaran tempatan mencatatkan penurunan pada kadar lebih kecil iaitu 2.1 peratus pada Disember 2020 berbanding penguncupan tiga peratus November lalu.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan dua digit yang terus meningkat bagi indeks pertanian, perhutanan dan perikanan iaitu 23.5 peratus serta perubahan positif indeks pembuatan (0.2 peratus) memperkukuh momentum keseluruhan indeks.
Menurutnya, indeks bekalan air turut meningkat 0.7 peratus dalam bulan Disember 2020.
Walau bagaimanapun, beliau berkata, indeks perlombongan serta bekalan elektrik dan gas masih mencatatkan penurunan masing-masing sebanyak 40 dan 1.7 peratus.
“Bagi perbandingan bulanan, indeks harga pengeluar bagi pengeluaran tempatan meningkat 1.7 peratus pada Disember 2020 disokong indeks perlombongan yang mencatatkan kenaikan dua digit iaitu 13 peratus.
“Ia diikuti indeks pertanian, perhutanan dan perikanan sebanyak 4.2 peratus serta pembuatan berjumlah 0.9 peratus.
“Bekalan elektrik dan gas serta indeks bekalan air masing-masing turun 0.9 peratus dan 0.2 peratus,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Mohd. Uzir memberitahu, indeks harga pengeluar untuk pengeluaran tempatan bagi tempoh Januari hingga Disember 2020 menurun 2.7 peratus iaitu menyamai perubahan bagi tempoh Januari hingga November 2020.
Bagi suku keempat pula, kata Mohd. Uzir, indeks harga pengeluar telah menyusut 2.9 peratus kepada 103.2 berbanding 106.3 pada suku yang sama tahun sebelumnya.
“Penurunan ini disebabkan oleh kejatuhan bagi indeks perlombongan sebanyak -43.1 peratus, bekalan elektrik dan gas (-1.0 peratus) dan pembuatan (-0.4 peratus).
“Sementara itu, indeks pertanian, perhutanan dan perikanan serta bekalan air masing-masing merekodkan peningkatan 22 peratus dan 0.8 peratus,” katanya. – UTUSAN