Harga minyak tertinggi sejak Februari - Utusan Malaysia

Harga minyak tertinggi sejak Februari

Keputusan Arab Saudi mengurangkan pengeluaran minyak membantu melonjakkan harga komoditi itu di pasaran antarabangsa. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Harga minyak mentah Brent meningkat ke paras tertinggi sejak Februari tahun lalu selepas Arab Saudi bersetuju mengurangkan pengeluaran lebih banyak daripada dijangkakan.

Ia selepas mesyuarat Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) dengan data industri turut menunjukkan stok minyak mentah Amerika Syarikat (AS) jatuh, minggu lalu.

Minyak mentah Brent naik sebanyak 0.6 peratus kepada AS$53.94 (RM216.38) setong, tertinggi sejak 26 Februari 2020. Harga tersebut berada pada kadar AS$53.79 (RM215.78) setong sebelum itu yang menyaksikan peningkatan 4.9 peratus pada Selasa.

Niaga hadapan West Texas Intermediate (WTI) AS pula naik 13 sen atau 0.26 peratus kepada AS$50.06 (RM200.82) setong. Kontrak pada Selasa ditutup lebih tinggi iaitu naik 4.6 peratus kepada AS$49.93 (RM200.29), paling tinggi sejak 24 Februari 2020.

Selasa lalu, pengeksport minyak terbesar dunia, Arab Saudi bersetuju mengurangkan pengeluaran minyak tambahan secara sukarela sebanyak satu juta tong sehari (bpd) pada Februari dan Mac depan.

Pengurangan yang dipersetujui Arab Saudi itu dimasukkan dalam kesepakatan untuk meyakinkan pengeluar lain dalam kumpulan OPEC+ untuk memastikan pengeluaran tetap stabil.

Dengan jangkitan Covid-19 yang semakin meningkat dengan pantas di banyak negara, pengeluar minyak berusaha menyokong harga kerana permintaan menerima impak daripada sekatan pergerakan yang telah dilaksanakan di beberapa negara.

Capital Economics dalam nota penyelidikan memberitahu, keputusan yang dilaksanakan itu dianggap sebagai kejutan besar memandangkan OPEC+ sukar mencapai kata putus.

“Ia sekali gus membuatkan kami merasakan bahawa pasaran minyak akan mengalami defisit…yang akan membantu menaikkan harga Brent kepada AS$60 (RM240.69) setong menjelang akhir tahun,” katanya.

Penyitaan kapal tangki Korea Selatan yang dilakukan Iran, anggota OPEC, turut menyokong harga minyak semalam.

Tehran telah menafikan bahawa negara itu menahan kapal dan kru sebagai tebusan, sehari selepas merampas kapal tangki di samping mendesak Seoul melepaskan dana berjumlah AS$7 bilion (RM28.08 bilion) yang dibekukan di bawah sekatan AS.

Inventori minyak mentah AS pula turun 1.7 juta tong minggu lalu kepada 491.3 juta tong, menurut data daripada Institut Petroleum Amerika. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya