Harga besi tetulang meningkat - Utusan Malaysia

Harga besi tetulang meningkat

KESUKARAN mendapatkan bahan mentah mendorong kenaikan harga besi tetulang dan bahan binaan berasaskan besi. - UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga besi tetulang meningkat sehingga RM2,890 setiap tan metrik bulan ini, kenaikan lebih 26 peratus berbanding harga terendah yang dicatatkan tahun lalu, iaitu RM2,278 setiap tan metrik pada Mei hingga Julai.

Menurut Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), hanya harga besi tetulang dan bahan binaan berasaskan besi yang mengalami kenaikan harga tahun lalu manakala bahan binaan lain berada pada harga yang stabil.

CIDB menyatakan, kenaikan harga tersebut antara lain disebabkan kesukaran mendapatkan bahan mentah, isu kelewatan yang menyumbang kepada kesukaran dan kelewatan penghantaran bagi bahan import dan permintaan yang berkurang dalam situasi pandemik dan perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Kenaikan harga bijih besi di seluruh dunia disebabkan kekurangan bekalan kerana kebanyakan lombong bijih besi tidak dapat beroperasi dengan kapasiti penuh, kesan daripada bencana alam dan isu pandemik.

“Pemulihan sebahagian permintaan bijih besi juga menyebabkan harga bijih besi naik sehingga mengakibatkan kenaikan harga jualan produk lama yang sedia ada,” katanya dalam kenyataan dekat sini semalam.

Lembaga itu turut mengaitkan kesan rantaian aliran tunai industri yang tidak stabil sebagai antara punca kenaikan harga tersebut.

Katanya, terma pembayaran antara kontraktor dan pembekal turut mempengaruhi harga bahan binaan bagi setiap transaksi.

“Pembekal cenderung menaikkan harga kerana mengambil kira risiko kelewatan pembayaran oleh pihak kontraktor, yang mana kontraktor berbuat demikian disebabkan pembayaran yang lewat diterima daripada pihak klien,” katanya.

Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Ir. Ahmad Asri Abdul Hamid berkata, pihaknya akan mengkaji langkah untuk mengurangkan kesan serta impak kenaikan harga tersebut kepada pemain industri pembinaan.

“Pandemik ini sememangnya telah membawa cabaran yang besar kepada semua pihak, khususnya penggiat industri pembinaan.

“Pihak CIDB akan mengkaji langkah-langkah bagi menangani masalah ini bagi memastikan kelangsungan dan kemampuan sektor ini untuk jangka masa pendek dan panjang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya