PETALING JAYA: Etika Sdn. Bhd. (Etika) telah bekerjasama dengan pelbagai organisasi tempatan untuk mengedar lebih daripada 2,000 karton minuman campuran (lebih 45,000 unit) kepada mangsa banjir di seluruh negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Etika Malaysia, Singapore dan Brunei, Khalid Alvi berkata, bantuan diberikan kepada mangsa banjir di negeri Pahang, Johor, Selangor, Perak, Kelantan dan Terengganu yang kehilangan tempat tinggal serta kekurangan barangan harian dan makanan akibat bencana tersebut.
“Etika akan terus berusaha untuk menawarkan rawatan dan sokongan kepada komuniti pada waktu yang mencabar ini.
“Kami ingin mencipta kesan positif dengan kerja yang kami lakukan tidak kira di mana kami menapak. Kumpulan Etika akan berusaha sedaya upaya untuk memberi sokongan kepada mangsa banjir,” katanya dalam satu kenyataan.
Khalid menjelaskan, pihaknya dalam proses mengatur barangan tersebut dan akan memastikan pengedaran segera kepada mangsa bencana itu.
Usaha di bawah Etika Cares itu mendapat kerjasama Yayasan Food Bank Malaysia dan pelbagai organisasi lain.
“Pengajaran terbesar kami daripada pandemik Covid-19 serta bencana alam itu ialah betapa pentingannya amalan bantu membantu.
“Etika akan terus komited membina komuniti yang lebih kuat dan ada untuk satu sama lain,” katanya. – UTUSAN