WASHINGTON: Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memerlukan lebih banyak sumber bagi membantu negara anggota yang mempunyai hutang tinggi.
Ini disebabkan kedudukan ekonomi global yang sangat tidak menentu menyebabkan jurang antara negara kaya dan miskin semakin meningkat.
Pengarah Urusan IMF, Kristalina Georgieva berkata, pihaknya mahukan Hak Pengeluaran Khas (SDR) yang akan memberinya lebih banyak dana untuk menangani krisis kesihatan dan ekonomi, selain mempercepatkan pergerakan digital dan ekonomi hijau.
Di bawah Presiden Donald Trump, Amerika Syarikat (AS) yang merupakan pemegang saham terbesar IMF telah menyekat peruntukan baharu SDR, langkah yang serupa dengan wang cetakan bank pusat.
Ia bagi memberikan lebih banyak sumber daya kepada negara-negara kaya kerana peruntukan tersebut sejajar dengan pegangan saham mereka.
Menteri Kewangan Sweden, Magdalena Andersson yang juga Ketua Jawatankuasa Pengarah baharu IMF dalam satu sidang akhbar berkata, keperluan bagi kecairan tinggi tetap penting dan beliau akan berunding dengan negara-negara anggota untuk memperluaskannya.
Andersson merupakan wanita pertama mengetuai Jawatankuasa Kewangan dan Monetari Antarabangsa itu memulakan tugasnya untuk tempoh tiga tahun, kelmarin.
Sementara itu, Georgieva memberitahu, IMF akan meningkatkan pembiayaan konsesi ke pasaran negara berkembang dan membangun termasuk melalui sumbangan negara-negara ahli sebanyak kira-kira AS$20 bilion (RM80.91 bilion) dalam SDR sedia ada.
“Ia akan terus menjadi sangat penting untuk mengembangkan kemampuan kami menyokong negara yang sedikit ketinggalan,” katanya.
Tambah Georgieva, peruntukan SDR baharu tidak pernah diketepikan anggota IMF, malah beberapa ahli akan terus membincangkannya sebagai langkah yang mungkin diambil.
Katanya, kemungkinan penjualan emas daripada simpanan IMF akan mempunyai beberapa kos ke atas dana kewangan tersebut dan ia bergantung kepada negara anggota. – AGENSI