Darurat: Ekonomi tidak terkesan - Utusan Malaysia

Darurat: Ekonomi tidak terkesan

KEHENINGAN kerajaan mengenai struktur cukai atau tambahan pinjaman yang akan dilakukan agak menggusarkan pelabur luar. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Proklamasi Darurat yang dilaksanakan hingga 1 Ogos depan dijangka tidak memberi impak negatif terhadap unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) didorong oleh pembukaan aktiviti ekonomi seperti biasa.

Menurut MIDF Research dalam nota kajiannya, impak ekonomi hanya dirasai menerusi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali kedua selama dua minggu bermula semalam hingga 26 Janua­ri ini.

Katanya, pelaksanaan PKP di enam negeri selama dua minggu dan PKP Bersyarat (PKPB) di enam lagi negeri ke­cuali Perlis serta Sarawak boleh menyebabkan penguncupan KDNK sebanyak 0.8 mata peratusan.

“Dalam erti kata lain, ia akan membuatkan peningkatan perlahan pertumbuhan ekonomi negara tahun ini pada kadar 6.2 peratus berbanding unjuran asal kami iaitu tujuh peratus tahun ke tahun.

“Secara keseluruhan, semua negeri yang terlibat dengan PKP dan PKPB menyumbang hampir 90 peratus daripada KDNK Malaysia tetapi ia dilihat kurang ketat berbanding PKP pertama kerana sektor ekonomi penting seperti pembuatan, pembinaan, perdagangan dan pengedaran dibenarkan beroperasi,” katanya dalam nota kajian.

Kelmarin, Yang di-Pertuan Agong berkenan supaya Darurat dilaksanakan sebagai langkah proaktif membendung gejala pandemik Covid-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan Istana Negara memaklumkan Seri Paduka turut memberi per­kenan untuk tempoh pelaksanaan darurat ini sehingga 1 Ogos atau sehingga suatu tarikh lebih awal jika jumlah kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Mengulas lanjut, MIDF Research tetap optimis dengan prospek tahun ini memandang­kan keadaan ekonomi bertambah baik walaupun berhadapan penurunan jangka pendek.

Firma penyelidikan itu turut menjangkakan pemulihan ekonomi didorong oleh permintaan dalam negeri disokong oleh perbelanjaan kerajaan terutama selepas peruntukan perbelanjaan pembangunan tertinggi dalam sejarah menerusi Belanjawan 2021.

“Walaupun begitu, kami menyedari risiko kemerosotan jangka pendek seperti peningkatan penularan kes Covid-19 global dan kualiti aset perbankan negara susulan berakhirnya moratorium pembiayaan.

“Kami turut mengekalkan sasaran FBM KLCI akhir tahun pada kadar 1,700 mata berdasarkan kepada prospek semasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya