ByteDance kurangkan kakitangan - Utusan Malaysia

ByteDance kurangkan kakitangan

ByteDance turut memaklumkan bahawa ia belum pasti bila akan kembali beroperasi di India. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Syarikat teknologi China, ByteDance mengumumkan pengurangan kakitangannya di India, selepas kerajaan mengekalkan keputusan mengharamkan aplikasi TikTok.

Dalam satu pekeliling dalaman, syarikat itu turut memaklumkan kepada kakitangannya bahawa ia belum pasti bila akan kembali beroperasi di India.

Kerajaan India sebelum ini mengekalkan keputusan mengharamkan operasi TikTok dan 58 lagi aplikasi China membabitkan isu pematuhan dan privasi.

Pengharaman operasi syarikat-syarikat China itu dibuat pada tahun lalu selepas hubu­ngan politik India dan China tegang membabitkan isu sempadan.

“Kami pada mulanya berharap keadaan ini hanya sementara, tetapi mendapati ia tidak sedemikian.

“Kami tidak boleh beroperasi dengan kapasiti pekerja penuh ketika aplikasi kami tetap tidak dapat beroperasi. Kami tidak tahu bila akan kembali ke India,” kata ByteDance dalam pekeli­ling itu.

Sementara itu, TikTok dalam satu kenyataan menyatakan kekesalannya apabila masih tidak mendapat sebarang arahan yang jelas daripada pihak kerajaan bagaimana dan bila ia boleh beroperasi semula.

“Adalah sangat mendukacitakan selepas mendukung lebih 2,000 kakitangan di India untuk lebih dua tahun, kami tidak ada pilihan tetapi mengecilkan kembali jumlah pekerja,” katanya tanpa memberi penjelasan lanjut.

Kerajaan India menyifatkan aplikasi berkenaan sebagai “prejudis kepada kedaulatan dan integriti India” sebelum memutuskan pengharamannya.

Keputusan itu susulan pertempuran antara tentera India dan China membabitkan perebutan sempadan di Himalaya, yang mengorbankan lebih 20 tentera negara ini.

TikTok sebelum ini menyatakan komitmennya untuk melabur kira-kira AS$1 bilion (RM4.04 bilion) di wilayah ber­kenaan. Sebelum pengharaman itu, TikTok merupakan antara aplikasi media paling pesat berkembang di India. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya